Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan perkukuh keindahan Bahasa Melayu

Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 11 Julai Keindahan bahasa Melayu dan ekosistem sastera negara terus diperkukuh menerusi penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan memberangsangkan golongan muda membuktikan deklamasi puisi relevan walau dalam era digital.
  • Tujuan sayembara menggiatkan semangat kebangsaan melalui seni dan memupuk kefahaman sastera dalam pembinaan negara.
  • Program menghimpunkan hampir 40 peserta dari kategori Awam dan Sekolah Menengah, menunjukkan minat yang kukuh.
  • Johan kategori Awam dan Sekolah Menengah akan mewakili wilayah ke peringkat kebangsaan; hadiah keseluruhan bernilai lebih RM6,000.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, penyertaan memberangsangkan golongan muda membuktikan seni deklamasi puisi terus relevan meskipun negara kini berada dalam era digitalisasi.

“Sempena menjelang Hari Kebangsaan, pada setiap tahun perlu ada satu usaha untuk membunggar semangat itu dalam bentuk seni yang halus. Jadi ini matlmat utama apabila masa beredar, generasi muda pun muncul.

“Maka, mereka juga tidak boleh dikesampingkan untuk benar-benar faham bahawa sastera juga ada fungsinua dalam pembinaan negara bangsa dan melahirkan rakyat yang patriotik dan nasionalis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-40 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di ibu negara.

Program berkenaan menghimpunkan hampir 40 peserta terdiri daripada deklamator Kategori Awam dan Sekolah Menengah sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Johan Kategori Awam, Muhamad Syahmi Samsuddin berkata, sebagai seorang guru muda beliau melihat bahasa dan sastera perlu dimartabatkan sejak di peringkat akar umbi bagi melahirkan generasi yang menghargai warisan bangsa.

“Bahasa dan sastera perlu dipupuk sejak kecil lagi. Kalau saya boleh, yang di luar sana juga boleh kerana bakat itu ada dan hanya perlu dicungkil. Elemen ini perlu diteruskan supaya bahasa dan sastera tidak terkubur begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Johan Kategori Sekolah Menengah, Adeeb Haikal Muhamad Asri berkata minatnya terhadap keindahan bahasa dan deklamasi sajak bermula dari usia muda lagi.

“Kita perlu menghayati sajak, memahami maksudnya dengan betul dan menyampaikannya dengan penuh penghayatan. Saya juga berharap lebih ramai menceburi bidang ini kerana banyak perkara tentang bahasa yang dapat dipelajari,” katanya.

Kedua-dua johan kategori akan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ke peringkat kebangsaan.

Johan Kategori Sekolah Menengah akan berentap pada 18 Julai di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala Johan Kategori Awam akan bertanding di Sarawak dari 14 hingga 16 Ogos.

Sayembara itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM6,000 berupa wang tunai, plak dan piala pusingan.

Penganjuran sayembara edisi ke-40 itu sekali gus menjadi platform penting menyemarakkan semangat patriotisme khususnya dalam kalangan generasi muda.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.