
PUTRAJAYA, 11 Julai – Seramai 36,900 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan, termasuk mereka yang diserahkan kepada Jabatan Imigresen oleh agensi penguat kuasa lain menerusi pemeriksaan terhadap 84,464 individu.
- JIM jalankan 6,237 operasi sepanjang 1 Jan hingga 30 Jun, menunjukkan penguatkuasaan berterusan ke atas warga asing yang melanggar undang-undang.
- Datuk Zakaria menegaskan JIM serius dan mengingatkan PATI agar patuhi peraturan atau hadapi tindakan dipertingkatkan.
- Pada Jun, JIM laksanakan 1,154 operasi, periksa 13,078 individu; 4,093 warga asing dan 133 majikan ditahan.
- Operasi penguatkuasaan akan diteruskan tanpa henti sehingga isu PATI dan kesalahan imigresen dapat diselesaikan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan itu merupakan hasil 6,237 operasi telah dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu.
“Ini menunjukkan bahawa kita serius dalam menangani isu warga asing yang melanggar peraturan imigresen di Malaysia. Saya juga ingin mengingatkan mereka yang masih berdegil dan masih berada di luar sana supaya mematuhi segala peraturan.
“Mereka juga perlu mematuhi undang-undang imigresen yang berkuat kuasa. Jika mereka terus ingkar, tindakan akan dipertingkatkan dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan tanpa henti sehingga isu ini dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jalinan Strategik Jabatan Imigresen Malaysia Bersama Media 2026 di sini.
Selain itu, seramai 978 majikan turut ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen. Bagi Jun sahaja, JIM melaksanakan 1,154 operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 13,078 individu.
Daripada jumlah itu, seramai 4,093 warga asing serta 133 majikan ditahan. Statistik tersebut membuktikan kesungguhan JIM dalam menangani isu warga asing yang menyalahi peraturan imigresen.
Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkat tanpa henti bagi membanteras PATI dan warga asing yang melanggar undang-undang.