
PUTRAJAYA, 11 Julai – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku melibatkan pegawainya, termasuk yang disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.
- Memperkukuh integriti pegawai sebagai salah satu tiga fokus utama jabatan, bersama penguatkuasaan dan peningkatan perkhidmatan pelanggan.
- JIM akan menunggu SPRM menyelesaikan siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap pegawai yang disyaki.
- Pegawai terlibat direhatkan dari tugas dan jabatan akan ambil tindakan tatatertib tanpa mengira pangkat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, usaha memperkukuh integriti pegawai kekal menjadi antara tiga fokus utama jabatan selain memperhebat penguatkuasaan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kita akan tunggu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyelesaikan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.
“Sementara itu, pegawai yang terlibat akan direhatkan daripada tugas bagi memastikan mereka tidak lagi terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jalinan Strategik Jabatan Imigresen Malaysia Bersama Media 2026 di sini.
Setakat ini seramai 11 pegawai imigresen ditahan SPRM bagi membantu siasatan. Tangkapan itu membabitkan pegawai yang bertugas di JIM Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
Datuk Zakaria menegaskan, JIM akan mengambil tindakan tanpa mengira pangkat atau jawatan pegawai yang didapati terbabit dalam salah laku.
Sehingga kini seramai 834 pegawai imigresen telah dikenakan tindakan tatatertib secara kumulatif bagi tempoh 2023 hingga 2026, termasuk 69 pegawai yang dibuang kerja.
Bagi tahun ini sahaja, seramai 81 pegawai dikenakan tindakan tatatertib, manakala 14 daripadanya dibuang kerja.
Usaha memperkukuh integriti pegawai kekal menjadi antara tiga fokus utama jabatan selain memperhebat penguatkuasaan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.