
LOS ANGELES, 11 Julai – Mikel Merino muncul wira Sepanyol apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88 untuk menewaskan Belgium 2-1 pada aksi suku akhir Piala Dunia di Stadium SoFi, di sini, pada Jumaat.
- Sepanyol layak ke separuh akhir menentang Perancis di Stadium AT&T, Arlington, Texas, pada Selasa.
- Fabian Ruiz membuka jaringan pada minit ke-30 selepas menyambar rembatan Dani Olmo yang ditepis Courtois.
- Charles De Ketelaere menyamakan kedudukan pada minit ke-41 dengan tandukan daripada hantaran Timothy Castagne.
- Courtois cedera pada minit ke-70; penggantinya Lammens gagal kawal rembatan Pau Cubarsi, dan Saelemaekers hampir menyamakan.
Kemenangan dramatik itu membawa juara Eropah tersebut ke separuh akhir menentang Perancis di Stadium AT&T, Arlington, Texas, pada Selasa.
Sepanyol terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-30 menerusi Fabian Ruiz selepas percubaan Dani Olmo ditepis Thibaut Courtois.
Ruiz yang dibawa masuk menggantikan Pedri segera memberi impak apabila menyambar bola yang ditepis Courtois untuk meletakkan La Roja di depan.
Belgium bagaimanapun tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Charles De Ketelaere menyamakan kedudukan pada minit ke-41 selepas menanduk masuk hantaran Timothy Castagne.
Bersambung babak kedua, Sepanyol terus mendominasi permainan dengan Lamine Yamal kerap mengancam pertahanan lawan.
Belgium memasukkan Romelu Lukaku untuk memperkuat serangan, namun kehilangan Courtois akibat kecederaan pada minit ke-70 menjadi titik perubahan perlawanan.
Penggantinya, Lammens, gagal menangkap kemas rembatan Pau Cubarsi pada minit ke-88, sebelum Merino menyudahkan bola yang terlepas untuk menjaringkan gol kemenangan.
Ia merupakan gol lewat kedua berturut-turut Merino selepas turut menjaringkan gol pada masa kecederaan ketika menentang Portugal, Isnin lalu.
Belgium hampir menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan, tetapi Alexis Saelemaekers gagal menghantar bola kepada Lukaku di hadapan gawang terbuka.
Wisel penamat mengesahkan tempat Sepanyol di separuh akhir, sekali gus meneruskan pemburuan untuk bergelar juara dunia. – AFP