
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Joel Cornelli yakin Malayan Tigress masih memiliki peluang cerah untuk mara ke separuh akhir Piala Wanita AFF 2026 meskipun sekadar seri 1-1 menentang Laos, pada Jumaat.
- Menang ke atas Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A akan memastikan kemaraan ke separuh akhir.
- Jurulatih mahu lebih latihan, organisasi lebih baik dan pembetulan kesilapan untuk prestasi lebih mantap.
- Pemain tunjuk komitmen tinggi walaupun kecewa; tekanan awal beri peluang, tetapi faktor fizikal kurangkan intensiti.
- Perubahan taktikal dan dua pemain gantian bantu bangkit, pemain mahu keputusan dijadikan pengajaran dan sokongan diteruskan.
Menurut Cornelli, nasib skuad negara masih berada dalam tangan sendiri apabila kemenangan ke atas Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A pada Khamis ini akan memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya.
“Kami masih mempunyai peluang kerana tidak bergantung kepada keputusan perlawanan lain. Jika menewaskan Singapura, kami akan layak.
“Saya yakin dengan lebih banyak latihan, organisasi permainan lebih baik serta memperbaiki kesilapan dilakukan, kami mampu beraksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Mengulas keputusan seri menentang Laos, Cornelli mengakui kecewa, namun tetap berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan pemain sepanjang 90 minit permainan.
Katanya, skuad negara cuba melakukan tekanan tinggi sejak awal permainan bagi mendapatkan jaringan awal, namun gagal menyempurnakan beberapa peluang sebelum kehilangan sedikit intensiti permainan akibat faktor fizikal.
Cornelli berkata, perubahan taktikal dan kemasukan dua pemain pada babak kedua bertujuan menambah kekuatan jentera serangan berjaya membantu Malayan Tigress bangkit menyamakan kedudukan.
“Kami tidak pernah berputus asa. Pasukan terus berjuang dan cuba menjaringkan gol sepanjang perlawanan. Itu perkara penting dan penyokong juga dapat melihat usaha pemain,” katanya.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Nur Ainsyah Murad mengakui kecewa gagal meraih kemenangan, namun mahu keputusan berkenaan dijadikan pengajaran untuk bangkit pada aksi seterusnya.
“Saya dan pasukan akan melakukan yang terbaik menentang Singapura. Saya harap penyokong terus memberikan semangat seperti malam ini,” katanya.