
KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Penyelidikan padi hibrid tempatan perlu diperkukuh bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap import.
- Malaysia ketinggalan dalam pembangunan padi hibrid berbanding China, Vietnam dan Filipina.
- Perkukuh kajian MARDI dan universiti untuk tingkatkan hasil bagi keluasan tanah sama; modenkan pertanian, galak petani terima teknologi baharu.
- Akses dron perlu dipermurah melalui pengeluaran tempatan atau LPP menyediakan perkhidmatan kawasan; contoh penggunaan bantuan MADANI beli dron bagi persatuan.
- Bantuan bersasar untuk petani B40 terjejas akibat kelewatan baja; kerugian dinilai mengikut kes dan pembekal yang gagal mungkin disiasat SPRM.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Malaysia masih ketinggalan dalam pembangunan padi hibrid berbanding China, Vietnam dan Filipina.
Beliau berkata penyelidikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta universiti perlu dipertingkat bagi meningkatkan hasil menggunakan keluasan tanah yang sama.
“Padi hibrid kita masih jauh ketinggalan berbanding China, Vietnam dan Filipina. Dengan keluasan tanah yang sama, kita mahu meningkatkan hasil.
“Kajian oleh MARDI dan universiti perlu diteruskan bagi memodenkan pertanian, manakala petani perlu bersedia menerima teknologi baharu yang disyorkan penyelidik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Mohamad berkata penggunaan teknologi pertanian seperti dron perlu ditawarkan pada kos lebih rendah bagi memudahkan petani yang mengusahakan sawah bersaiz kecil mendapat akses kepada teknologi berkenaan.
“Kalau sawah satu atau dua ekar, agak sukar bagi petani menanggung kos sewaan dron. Penyelidikan tempatan perlu membantu menghasilkan dron pada harga lebih murah, atau Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyediakan dron di peringkat kawasan.
“Sebagai contoh, ada persatuan peladang menggunakan bantuan MADANI RM100,000 untuk membeli dron bagi memberikan perkhidmatan kepada ahli. Ini langkah jangka panjang, terutama bagi kawasan sawah atau ladang bersaiz kecil,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kementerian sedang meneliti kemungkinan menyalurkan bantuan atau insentif bersasar kepada petani kumpulan B40 yang terjejas akibat kelewatan bekalan baja.
Datuk Seri Mohamad berkata kerugian petani akan dinilai mengikut kes sebelum bentuk bantuan ditentukan.
“Kerugian petani akan kita kaji dan bincangkan. Jika ada peruntukan, bantuan akan disasarkan kerana bukan semua petani mengalami kemerosotan hasil. Ada kawasan yang akan dinilai mengikut kes,” katanya.
Beliau berkata perbincangan mengenai kelewatan bekalan baja turut diadakan bersama pihak berkaitan termasuk pengurusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Kawalselia Padi dan Beras (KPB).
Menurutnya, syarikat yang tidak berupaya membekalkan baja telah dicadangkan untuk dihentikan, manakala perkara itu turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.