
PUTRAJAYA, 14 Oktober – Kementerian Luar bersedia menyalurkan bantuan dan mengadakan lawatan konsular kepada rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Jepun berhubung kes dadah, tertakluk kepada persetujuan individu terbabit selaras dengan undang-undang privasi negara berkenaan.
- Kementerian menghormati proses perundangan Jepun dan tidak boleh mencampuri siasatan jenayah negara asing.
- Tidak boleh meminta nama atau melawat tahanan tanpa kebenaran bertulis kerana dasar privasi dan kerahsiaan pesalah di Jepun sangat ketat.
- Waris dinasihatkan meminta tahanan mengemukakan permohonan bertulis kepada pihak berkuasa Jepun untuk membolehkan lawatan konsular.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya menghormati proses perundangan tempatan di Jepun dan tidak boleh sewenang-wenangnya campur tangan dalam siasatan kes jenayah yang melibatkan undang-undang negara luar.
“Di Jepun itu kes dadah, jadi terpulang kepada pihak berkuasa di sana dan kita hanya boleh memberikan khidmat serta lawatan konsular sekiranya diperlukan.
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya meminta nama atau melawat tanpa kebenaran daripada orang kena tahan di Jepun kerana mereka berpegang kepada dasar privasi dan kerahsiaan pesalah yang amat ketat,” katanya dalam sidang media di Wisma Putra, di sini hari ini.
Dalam pada itu, waris atau ahli keluarga individu terbabit meminta tahanan berkenaan mengemukakan permohonan bertulis rasmi kepada pihak berkuasa tempatan di Jepun bagi membolehkan pihak kedutaan mengatur sesi lawatan konsular.
“Langkah itu perlu dilakukan sekiranya pihak keluarga mahu kita adakan lawatan konsular bagi melihat kebajikan atau apa-apa keperluan mereka. Pihak berkuasa di sana memerlukan kebenaran bertulis daripada orang yang ditahan itu sendiri.
“Sama seperti kita mahu orang luar menghormati undang-undang negara kita, kita juga tidak boleh sesekali mencampuri proses perundangan di negara asing,” katanya lagi.