Projek solar di premis rekod penjimatan sebanyak RM115 juta

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA, 14 Oktober – Inisiatif pemasangan sistem solar fotovolta di premis kerajaan di seluruh negara berpotensi menjana penjimatan kos tenaga elektrik sehingga RM115 juta setahun berbanding penggunaan bekalan konvensional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program diperluas ke luar bandar dan pedalaman, memasang GCPV dan OGPV di 46 premis kerajaan, 283 sekolah, 4 pos sempadan dan sebuah kampung Orang Asli.
  • Lima projek GCPV siap lebih awal merangkumi enam bangunan, kapasiti 779.86 kWp, unjuran 1,070 MWj setahun dan pengurangan 791 tan CO2.
  • Kementerian Ekonomi memperuntukkan RM57.6 juta bagi membiayai program pemasangan solar di premis kerajaan persekutuan.
  • Sasaran kapasiti meningkat 8% kepada 9.68 MW; 19 projek di 46 premis dijangka menjana 13,200 MWj setahun, jimat kasar RM5.5 juta setahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu bukan sahaja melibatkan bangunan pejabat persekutuan, malah diperluas ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

Inisiatif tersebut merangkumi pemasangan sistem solar fotovolta tersambung grid (GCPV) dan luar grid (OGPV) di 46 bangunan Kerajaan Persekutuan, 283 sekolah luar bandar di Sabah, Sarawak dan semenanjung, empat pos sempadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sebuah perkampungan orang asli.

“Ini adalah dasar kerajaan supaya kita mencapai pengurangan pelepasan karbon dan juga penjimatan kos elektrik dalam pengoperasian bangunan-bangunan itu.

“Jadi penjimatan kos tenaga sehingga dijangkakan RM115 juta setahun dengan apa yang telah dipasang. Program ini kita harap akan berterusan di masa-masa mendatang supaya penjimatan itu lebih kita tingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria Tersambung Grid di Bangunan-Bangunan Kerajaan di Wisma Putra, di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadii Menteri Luar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.

Terdahulu, Datuk Seri Alexander menyempurnakan penyerahan lima projek GCPV yang siap mendahului jadual (AOT) tanpa sebarang lanjutan masa membabitkan premis Kementerian Luar, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Lima projek terbaharu yang merangkumi enam bangunan itu mempunyai kapasiti terpasang sebanyak 779.86 kilowatt-puncak (kWp) dengan unjuran penjanaan 1,070 megawatt-jam (MWj) elektrik setahun, sekali gus mengelakkan pelepasan sekitar 791 tan metrik karbon dioksida setara setahun.

Datuk Seri Alexander turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi yang memperuntukkan RM57.6 juta bagi membiayai program pemasangan solar di premis persekutuan.

Menerusi peruntukan itu, sasaran awal kapasiti pemasangan sembilan megawatt di semenanjung telah berjaya ditingkatkan sebanyak lapan peratus kepada 9.68 megawatt, merangkumi 19 projek di 46 premis.

“Apabila kesemua 19 projek ini beroperasi sepenuhnya, ia diunjurkan menjana sekitar 13,200 MWj elektrik setahun dengan potensi penjimatan kasar bil elektrik kerajaan kira-kira RM5.5 juta setahun atau menghampiri RM130 juta sepanjang tempoh hayat 25 tahun,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.