
KUALA LUMPUR, 11 JULAI – Pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh kembali mendapat kepercayaan skuad kebangsaan selepas dimasukkan dalam senarai 26 pemain yang dipanggil ketua jurulatih interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe ke kem latihan pusat menjelang kejohanan Piala ASEAN 2026 bulan ini.
- Cheng Hoe memasukkan tiga pemain naturalisasi berpengalaman, Paulo Josue, Sergio Aguero dan Endrick dos Santos.
- Beberapa pemain muda dan wajah baharu dipanggil, termasuk Pavithran, Faris Danish, Haziq Aiman, Ziad El Basheer dan Ubaidullah Shamsul.
- Persatuan Bolasepak Malaysia berkata pemilihan dibuat selepas penilaian dan penelitian panjang oleh Cheng Hoe.
- Jurulatih menghadapi cabaran masa, hanya lapan hari membina keserasian sebelum berlepas ke Yangon pada 23 Julai.
Selain Sumareh, Cheng Hoe turut mempertaruhkan beberapa pemain berpengalaman termasuk tiga lagi pemain naturalisasi, iaitu Paulo Josue, Sergio Aguero dan Endrick dos Santos.
Barisan kali ini turut menyaksikan beberapa pemain muda dan wajah baharu diberikan peluang, antaranya Pavithran Gunalan, Faris Danish Asrul, Haziq Aiman Esa, Ziad El Basheer Norisham serta Ubaidullah Shamsul Fazili.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan barisan pemain kali ini dipilih selepas penilaian dan penelitian panjang dibuat Cheng Hoe.
“Beliau (Cheng Hoe) menghadapi satu situasi sukar dalam menyediakan pasukan bagi menghadapi Piala ASEAN 2026.
“Ini kerana, seperti yang semua sedia maklum, kejohanan ini berlangsung di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA dan juga ketika kelab-kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super 2026-2027 baru saja memulakan latihan pramusim masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Kesemua pemain akan melapor diri ke kem latihan pusat bermula Rabu ini dengan hanya lapan hari tersedia untuk Cheng Hoe membentuk keserasian pasukan sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar pada 23 Julai.
Harimau Malaya akan membuka kempen Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna pada 25 Julai, sebelum berdepan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras (28 Julai), Thailand di Stadium Rajamangala Bangkok (1 Ogos) dan Filipina di Cheras pada 8 Ogos.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke separuh akhir secara timbal balik pada pertengahan Ogos manakala final dijadualkan berlangsung pada 22 dan 26 Ogos. -Bernama