Piala Dunia 2026: Pertembungan Kane dan Haaland jadi tumpuan

Kane dan Haaland jadi tumpuan aksi suku akhir. Foto/AFP

MIAMI, 11 JULAI Aksi suku akhir Piala Dunia 2026 pada Ahad tertumpu kepada pertembungan dua penyerang elit dunia apabila England berdepan Norway dalam aksi yang menemukan Harry Kane dan Erling Haaland di Stadium Hard Rock, Miami.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kane muncul wira selepas membantu England menewaskan Mexico 3-2 walau bermain 10 orang; beliau sudah meledak enam gol.
  • Haaland mempamerkan sentuhan berbisa dengan tujuh jaringan, membawa Norway ke suku akhir buat kali pertama.
  • Kembalinya Declan Rice, Marc Guehi dan Reece James beri suntikan semangat; Tuchel mahu pasukan menangi suku akhir.

Pada perlawanan 16 pasukan terbaik, Kane muncul wira selepas membantu skuad The Three Lions menewaskan Mexico 3-2, meskipun pasukannya beraksi dengan 10 pemain.

Penyerang Bayern Munich itu kini telah meledak enam gol sepanjang kejohanan.

Sementara Haaland pula mempamerkan sentuhan berbisa dengan tujuh jaringan yang membawa Norway melangkah ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah.

Jurulatih Norway, Stale Solbakken mengakui aksi menentang England sebagai perlawanan paling penting dalam sejarah bola sepak negara itu.

“Setiap perlawanan di kejohanan ini menjadi yang paling penting buat bola sepak Norway, terutama di peringkat kalah mati. Jadi, ini kali ketiga kami berdepan perlawanan paling penting,” katanya.

Sementara itu, England dilapor menerima suntikan semangat apabila tiga tonggak, Declan Rice, Marc Guehi dan Reece James kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan dan masalah kesihatan.

Jurulatih England Thomas Tuchel berkata, kepulangan ketiga-tiga pemain itu adalah berita terbaik buat pasukannya.

“Kami sudah mengambil satu langkah besar dalam perlawanan lalu, tetapi itu hanyalah permulaan. Langkah seterusnya ialah memenangi suku akhir,” katanya.

Perlawanan di Miami dijangka berlangsung dalam keadaan mencabar dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius, sekali gus menguji ketahanan fizikal kedua-dua pasukan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.