Tiga gudang musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Demak Laut

Foto RTM

PETRA JAYA, 11 Julai – Tiga buah gudang musnah manakala dua lagi terjejas dalam satu kejadian kebakaran di Taman Perindustrian Demak Laut, di sini tengah hari semalam (Jumaat).

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima pada 12.23 tengah hari; JBPM mengerahkan pasukan ke lokasi.
  • Kebakaran melibatkan stor aiskrim, stor baja dan stor pencair cat; gudang logistik dan produk makanan terjejas 10–40%.
  • Seramai 52 anggota dari empat balai dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Bako dikerahkan.
  • Operasi pemadaman guna buih offensif dan defensif; penggunaan ALP dari aras tinggi; overhaul masih dijalankan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 12.23 tengah hari sebelum mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Kebakaran itu membabitkan gudang penyimpanan bahan pembuatan aiskrim, stor baja serta stor penyimpanan pencair cat, manakala dua lagi gudang logistik dan produk makanan dilaporkan terjejas antara 10 hingga 40 peratus.

Seramai 52 anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Bako digerakkan bagi mengawal marak api daripada terus merebak ke struktur bangunan berhampiran.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan media campuran buih secara ofensif dan defensif.

“Tindakan pemadaman dari aras tinggi juga terpaksa dilakukan menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) bagi menghalang kemerebakan api dari bahagian atas struktur bangunan kilang yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, setakat pukul 7 pagi tadi, pasukan bomba masih berada di lokasi bagi menjalankan operasi overhaul bagi memastikan sisa-sisa api di dua buah gudang berkenaan terpadam sepenuhnya.

Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan setakat ini, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.