
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan produktiviti, mempercepat keputusan perniagaan serta mengukuhkan daya saing dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
- DNeX IT lancar platform AI XWHIZ untuk memacu prestasi perniagaan melalui perkongsian maklumat lebih pantas dan berkesan.
- XWHIZ menyediakan transkripsi Bahasa Melayu dan Inggeris serta terjemahan kepada lebih 50 bahasa untuk memudahkan komunikasi rentas bahasa.
- Akses data masa nyata membolehkan organisasi membuat keputusan tepat yang memberi impak besar kepada keseluruhan operasi.
- XWHIZ dibangunkan menggunakan kepakaran dan sumber tempatan serta mematuhi keperluan penyimpanan data dalam negara.
Ketua Pegawai Eksekutif DNeX IT, Marlishiraz Ramli berkata AI berupaya memacu prestasi perniagaan melalui perkongsian maklumat yang lebih pantas dan berkesan di seluruh organisasi.
“Salah satu kelebihan utama AI ialah keupayaannya membantu meningkatkan prestasi perniagaan melalui perkongsian maklumat yang lebih cekap.
“Dengan akses kepada data masa nyata, sesebuah organisasi dapat membuat keputusan yang tepat dan ia memberi impak besar kepada seluruh organisasi,” katanya selepas melancarkan platform AI, XWHIZ, di ibu negara pada Khamis.
Tambahnya, platform AI itu turut menyokong transkripsi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta terjemahan ke lebih 50 bahasa, sekali gus memudahkan komunikasi rentas bahasa dan memperluas kerjasama pasaran luar.
Mengulas potensi pengembangan platform berkenaan, pihaknya menyasarkan untuk memperluas penggunaan platform itu ke pasaran serantau dan global selepas mengukuhkan kedudukannya di Malaysia.
Menurutnya, XWHIZ dibangun sepenuhnya menggunakan kepakaran dan sumber tempatan serta mematuhi keperluan penyimpanan data dalam negara.