
KUALA LUMPUR, 9 Julai – The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Tunku Kurshiah (TKC) mencatat kelulusan 100 peratus dalam Peperiksaan International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) Mei 2026.
- BPSBP mengumumkan pencapaian itu melalui hantaran Facebook, turut dikongsi Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
- Kedua-dua sekolah mengatasi purata mata Diploma IB global 30.88, menonjolkan kecemerlangan SBP di peringkat antarabangsa.
- Program IBDP dua tahun diiktiraf antarabangsa dan ditawarkan Kementerian Pendidikan di SBP kepada pelajar cemerlang SPM.
Pencapaian itu diumumkan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) menerusi hantaran di Facebook yang turut dikongsi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut BPSBP, kedua-dua sekolah turut mengatasi purata mata Diploma IB global iaitu 30.88, sekali gus membuktikan kecemerlangan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di peringkat antarabangsa.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen, disiplin dan usaha gigih pelajar, selain dedikasi guru, ibu bapa serta seluruh warga sekolah dalam memastikan kejayaan mereka.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga SBP untuk terus melakar kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” menurut hantaran itu.
Program IBDP ialah program prauniversiti selama dua tahun yang dibangunkan oleh International Baccalaureate (IB) berpangkalan di Geneva, Switzerland.
Program itu diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menjadi antara kelayakan utama untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di seluruh dunia.
Di Malaysia, Kementerian Pendidikan menawarkan program IBDP di dua Sekolah Berasrama Penuh, iaitu MCKK dan TKC, kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).