
KOTA BHARU, 9 Julai– Isu lambakan durian masih belum berlaku di Kelantan meskipun musim pengeluaran buah itu telah bermula sejak penghujung Jun lalu.
- Harga durian premium termasuk Musang King kekal stabil antara RM20 hingga RM30 sekilogram.
- FAMA laksanakan pelan intervensi: jualan bermusim di 20 lokasi 10 daerah dan Pusat Pemprosesan Machang memproses sehingga 30 tan metrik sekali masa.
- Pengeluaran durian dijangka meningkat kepada 70,000 tan metrik tahun ini, mengekalkan Kelantan sebagai pengeluar durian ketiga terbesar negara.
- Eksport durian meningkat: 42,000 tan metrik tahun lalu, 30,000 tan metrik setakat Jun; pasaran baharu dan galakan pensijilan MyGAP Malaysia Best.
Pengarah FAMA Kelantan, Muhamad Razis Samsu berkata, harga durian premium termasuk Musang King kekal stabil antara RM20 hingga RM30 sekilogram.
“Lambakan durian tidak berlaku di Kelantan. Cuma ada sedikit lebihan durian luar gred di pasaran.
Harga durian premium masih stabil sekitar RM20 hingga RM30 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jualan Buah-Buahan Bermusim di RTC Tunjong, hari ini.
Menurutnya, FAMA telah menyediakan pelan intervensi bagi memastikan lambakan durian tidak berlaku ketika musim puncak pengeluaran.
Antara langkah yang dilaksanakan ialah menganjurkan program jualan buah-buahan bermusim di 20 lokasi strategik membabitkan 10 daerah.
Inisiatif lain termasuk pengoperasian Pusat Pemprosesan Buah-Buahan FAMA di Machang yang mampu memproses sehingga 30 tan metrik durian pada satu-satu masa.
Pengeluaran durian di Kelantan dijangka meningkat kepada 70,000 tan metrik tahun ini berbanding 60,000 tan metrik pada 2024.
Ia sekali gus mengekalkan kedudukan negeri ini sebagai pengeluar durian ketiga terbesar negara selepas Johor dan Pahang,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, eksport durian Malaysia terus mencatat pertumbuhan walaupun China memperketatkan prosedur import.
Katanya, Malaysia mengeksport 42,000 tan metrik durian bernilai hampir RM1 bilion tahun lalu.
Bagi tahun ini pula, setakat Jun lalu, jumlah eksport telah mencecah 30,000 tan metrik dan dijangka meningkat kepada 60,000 tan metrik menjelang akhir tahun.
Selain China, FAMA turut mengenal pasti negara lain seperti New Zealand, United Kingdom dan Kanada sebagai pasaran baharu bagi memperluas eksport durian tempatan.
Menurutnya, FAMA bersama Jabatan Pertanian akan terus menggalakkan pekebun mendapatkan pensijilan MyGAP dan Malaysia Best bagi meningkatkan kualiti hasil serta memenuhi keperluan pasaran eksport.