
KUALA LUMPUR, 9 JULAI – Kerajaan menanggung keseluruhan liabiliti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM51.4 bilion, termasuk RM42.5 bilion yang telah dibayar dan baki komitmen sukuk RM8.9 bilion sehingga 2039.
- Liabiliti keseluruhan 1MDB ialah RM51.4 bilion, termasuk RM42.5 bilion telah dibayar dan komitmen sukuk RM8.9 bilion hingga 2039.
- Pemulihan dana dan aset dijangka tidak mencukupi menampung baki obligasi, kerajaan akan terus mempergiat usaha mendapatkan semula aset.
- Kerajaan melaksanakan pembaharuan tadbir urus termasuk Akta Kewangan Awam, pindaan Akta Audit dan Akta Syarikat Milik Kerajaan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, selepas kerajaan berjaya mendapatkan semula dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion setakat 30 Jun 2026, kerajaan masih perlu menanggung baki liabiliti RM20.1 bilion.
“Ada empat kos atau kerugian yang saya anggap kes 1MDB telah membawa kepada negara. Satu ialah jumlah yang disebutkan sebanyak RM51 bilion ini. Kalau tidak ada usaha, maka jumlah ini adalah jumlah kerugian yang ditanggung oleh kerajaan Malaysia.
“Tapi telah ada usaha selepas tahun 2018, bermakna kita sekarang ini akan tanggung kos RM20 bilion atau RM20.1 bilion yang kerajaan rasa agak sukar untuk dapat kembali semua.
“Ketiga ialah opportunity cost. Kos yang kita boleh guna pakai dana ini untuk tujuan lain. Keempat ialah kos reputasi, ataupun kos nama baik atau negara kita. Dan apa usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk memperkukuh tatakelola negara kita,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen mengenai jumlah liabiliti 1MDB yang ditanggung Kerajaan, pembayaran yang telah dilunaskan serta dana dan aset yang berjaya dipulihkan.
Beliau menegaskan, kerajaan akan terus mempergiat usaha mendapatkan semula aset 1MDB, namun mengakui pemulihan pada masa depan dijangka tidak mencukupi bagi menampung keseluruhan baki obligasi.
Jelasnya, kerajaan pada masa sama telah melaksanakan beberapa pembaharuan tadbir urus, termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, pindaan Akta Audit serta penggubalan Akta Syarikat Milik Kerajaan (SOE) bagi mengelakkan skandal seumpamanya berulang.