Akta baharu bakal digubal, tangani isu gelandangan

Foto fail / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Julai– Akta baharu bakal digubal bagi menangani isu gelandangan yang semakin kompleks, termasuk membabitkan individu yang mengalami masalah kesihatan mental.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian menyemak semula Akta Orang-Orang Papa 1977 untuk menggubal akta baharu bagi menangani cabaran isu gelandangan.
  • Ketiadaan penempatan khusus bagi gelandangan yang mempunyai masalah kesihatan mental menjadi isu utama dalam semakan.
  • Seramai 206 warga emas berstatus gelandangan diselamatkan di bawah akta sedia ada antara Januari hingga April.
  • Individu disaring sebelum ditempatkan untuk program pemulihan dan latihan kemahiran; tersedia Anjung Singgah dan Pusat Transit yang menampung lebih 2,600.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya kini sedang melakukan semakan semula Akta Orang-Orang Papa 1977.

“Kementerian kini sedang menyemak semula Akta Orang-Orang Papa 1977 bagi menggubal satu akta baharu setelah mengambil kira pelbagai cabaran kompleks isu gelandangan masa kini.

Ia termasuk ketiadaan penempatan khusus untuk mereka yang mempunyai masalah mental,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Datuk Seri Nancy, seramai 206 warga emas berstatus gelandangan telah diselamatkan bawah akta sedia ada bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Daripada jumlah itu, Kuala Lumpur mencatatkan 48 kes, manakala tiada penahanan membabitkan Orang Kurang Upaya (OKU) direkodkan dalam tempoh sama.

Beliau berkata, individu yang diselamatkan akan menjalani saringan sebelum ditempatkan di institusi kebajikan bagi mengikuti program pemulihan dan latihan kemahiran.

Katanya, usaha itu turut diperkukuh melalui penyediaan penempatan sementara di Anjung Singgah dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur yang mampu menampung lebih 2,600 orang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.