PM Thailand selamat tiba untuk lawatan rasmi dua hari ke Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, selepas ketibaan Anutin di Malaysia hari ini bagi lawatan rasmi selama dua hari di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto/Bernama

SEPANG, 9 JULAI – Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Thailand serta mempererat kerjasama dalam bidang kepentingan bersama.
  • Anutin dan Anwar dijangka mengadakan mesyuarat di Perdana Putra dan menyaksikan penandatanganan MoU kerjasama pertanian.
  • Kedua-dua perdana menteri akan merasmikan pembukaan jalan penghubung ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao esok.

Pesawat khas yang membawa Anutin dan isterinya Thananon Charnvirakul, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 11.11 pagi.

Ketibaan mereka disambut Datuk Seri Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang juga menteri pengiring sepanjang lawatan itu.

Setibanya di sini, Anutin diberikan sambutan rasmi oleh kawalan kehormatan melibatkan 34 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1RRD), diketuai oleh Mejar Muhammad Nur Addeen Mustaza.

Majlis sambutan rasmi diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia dan Thailand.

Anutin kemudiannya diperkenalkan kepada barisan menteri Kabinet Malaysia serta pegawai kanan kerajaan.

Ini merupakan lawatan pertama Anutin ke Malaysia sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri pada Mac 2026.

Lawatan berkenaan bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang erat antara kedua-dua negara dan mempererat kerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Anutin dijadual mengadakan mesyuarat dengan Datuk Seri Anwar di Perdana Putra dengan kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Thailand.

Kedua-dua pemimpin juga akan turut menyaksikan majlis penandatanganan dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertanian, yang mencerminkan komitmen Malaysia-Thailand untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tersebut.

Datuk Seri Anwar juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari bagi meraikan Anutin dan delegasinya di Kompleks Seri Perdana.

Esok, kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan lawatan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah, bagi menyempurnakan majlis perasmian pembukaan jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Malaysia dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

Pada 2025, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan mencecah RM118.57 bilion (US$27.73 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand berjumlah RM31.33 bilion (US$7.90 bilion), berbanding RM27.35 bilion (US$6.15 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2025. -Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.