
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) esok, disokong prestasi ekonomi negara yang masih kukuh.
- Prestasi eksport kukuh didorong sektor elektrik dan elektronik serta eksport LNG, menyumbang pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.
- Momentum perbelanjaan isi rumah meningkat tetapi kadar pengangguran naik, menunjukkan permintaan domestik masih memerlukan sokongan.
- BNM dijangka mengekalkan pendekatan dasar yang seimbang dan mungkin mengurangkan OPR Julai 2025 sebagai langkah proaktif terhadap kejutan luaran.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan jangkaan pengekalan itu berdasarkan prestasi eksport negara pada Mei yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu 45.3 peratus.
“Peningkatan itu didorong sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang berkembang 70.5 peratus, sekaligus menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan eksport negara.
“Eksport komoditi juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan seperti pertumbuhan dalam eksport gas asli cecair (LNG) yang meningkat sebanyak 111 peratus, pada Mei lepas.
“Bagaimanapun, momentum perbelanjaan isi rumah yang berkembang 4.7 peratus pada suku pertama serta kadar pengangguran yang meningkat kepada 3.0 peratus pada April menunjukkan permintaan domestik masih memerlukan sokongan,”katanya kepada RTM.
Walaupun inflasi meningkat kepada 2.0 peratus pada Mei, beliau menjangkakan BNM akan terus mengambil pendekatan yang seimbang bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
Mengulas lanjut, pengurangan OPR pada Julai 2025, katanya merupakan langkah proaktif oleh BNM bagi mengurangkan impak kejutan luaran susulan pelaksanaan tarif import oleh Amerika Syarikat (AS).