
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Bank Negara Malaysia (BNM) giat membangunkan Pelan Induk Sektor Kewangan 2027–2030 sebagai hala tuju pembangunan industri kewangan bagi tempoh empat tahun akan datang.
- Pelan dilaksanakan melalui kerjasama erat antara industri, kerajaan dan pihak berkepentingan untuk memastikan ia mencerminkan cabaran sebenar dan keperluan ekonomi.
- Teknologi, termasuk AI, mesti memperkukuh kepercayaan, memperluaskan peluang dan memberi manfaat kepada masyarakat, bukan sekadar kecanggihan teknikal.
- BNM, PDRM, institusi kewangan dan NFCC bekerjasama memperkukuh perlindungan, berkongsi risikan dan melindungi pelanggan daripada jenayah kewangan.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama erat antara industri, kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan pelan tersebut berpaksikan cabaran sebenar serta selaras dengan keperluan ekonomi semasa.
“Masa depan sektor kewangan tidak ditentukan oleh sepantas atau secanggih mana teknologi yang kita miliki. Sebaliknya, ia ditentukan oleh sama ada teknologi tersebut mampu memperkukuh kepercayaan, memperluaskan peluang dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Itulah cabaran sebenar kemajuan. Ia juga merupakan tanggungjawab bersama kita, dan saya yakin kita mampu merealisasikan matlamat tersebut melalui kerjasama semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Nexus Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) di sini, hari ini.
Mengulas penggunaan kecerdasan buatan (AI) katanya, lebih 70 peratus penyedia perkhidmatan kewangan di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu aplikasi AI, sekali gus menuntut pendekatan yang jelas dan terarah dalam memacu inovasi.
“Maklum balas industri terhadap kertas perbincangan mengenai AI dalam sektor kewangan Malaysia menunjukkan bahawa penggunaan AI semakin pesat berkembang. Penggunaannya banyak tertumpu kepada usaha meningkatkan kecekapan, produktiviti dan pengurusan risiko,” katanya lagi.
Tambah beliau, kebanyakan institusi kewangan negara memberi tumpuan kepada aplikasi yang memberikan nilai tambahan dalaman kepada organisasi masing-masing.
Pada masa sama jelasnya, peluang lebih besar yang boleh dimanfaatkan menerusi penggunaan AI apabila seluruh ekosistem kewangan dapat berganding bahu menangani cabaran masa kini.
Justeru katanya, nilai kepercayaan tidak dibina oleh sesebuah institusi secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh semua pihak.
“Dalam konteks BNM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), institusi kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta rakan-rakan lain bekerjasama memperkukuh perlindungan, berkongsi maklumat risikan dan melindungi pelanggan,” ujar beliau.