Kerajaan cadang hukuman lebih berat bendung penyelewengan industri padi, beras

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin/Foto BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Kerajaan mencadangkan hukuman lebih berat termasuk menaikkan kadar denda hingga RM1 juta bagi membendung penyelewengan dalam industri padi dan beras negara menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan memperketat hukuman dan menaikkan denda bagi mengekang penyelewengan dalam industri padi dan beras.
  • Perluasan kuasa menteri untuk peraturan menyeluruh termasuk pelesenan pembeli, penetapan gred, kawalan harga dan pemindahan padi.
  • Pindaan dilaksanakan melalui libat urus inklusif, Analisis Impak Peraturan oleh MPC dan semakan pascapelaksanaan dalam dua tahun.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata pindaan itu dibuat berikutan perubahan landskap industri, dinamika pasaran dan perkembangan semasa yang memerlukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) diperkasakan supaya kekal relevan, dinamik dan berkesan dalam mengawal selia industri itu.

RUU itu mencadangkan pindaan terhadap Seksyen 22 Akta 522 dengan menaikkan kadar denda am bagi kesalahan yang penalti khususnya tidak diperuntukkan dalam akta sedia ada, memandangkan kadar denda ketika ini tidak lagi mampu memberi kesan pencegahan maksimum terhadap penyelewengan berskala besar.

“Bagi individu, kadar denda dicadangkan dinaikkan daripada maksimum RM15,000 kepada RM250,000 bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya daripada RM25,000 kepada RM500,000.

“Bagi pertubuhan perbadanan pula, kadar denda dicadangkan dinaikkan daripada maksimum RM25,000 kepada RM500,000 bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan berulang daripada RM50,000 kepada RM1 juta,” katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Datuk Chan berkata cadangan pindaan juga dibuat pada Seksyen 29 Akta 522 bagi memperluaskan kuasa menteri membuat peraturan yang lebih menyeluruh.

Ia termasuk berkaitan pelesenan pembeli padi, penetapan gred dan kawalan harga beras mengikut gred serta kawalan, larangan atau pengawalseliaan pemindahan fizikal padi dan beras bagi mengekang aktiviti penyorokan dan penyeludupan.

“Pindaan itu turut memperuntukkan bahawa pelanggaran terhadap mana-mana peraturan yang ditetapkan boleh dijadikan suatu kesalahan dengan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 atau penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata Jemaah Menteri pada 10 Dis 2025 bersetuju supaya Akta 522 dipinda bagi memastikan mekanisme kawal selia industri padi dan beras terus berkesan serta memenuhi keperluan semasa.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan pindaan secara inklusif melalui pelbagai sesi libat urus dengan pemain industri, persatuan pengguna dan Ahli Parlimen, selain menjalani proses Analisis Impak Peraturan (RIA) (Regulatory Impact Analysis) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Menurutnya, MPC turut menetapkan supaya semakan pascapelaksanaan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun selepas akta itu dikuatkuasakan.

Beliau berkata antara sesi libat urus utama ialah pada 18 Jun lepas yang menghimpunkan 137 wakil industri terdiri daripada persatuan pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi memastikan pindaan itu bersifat holistik dan adil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.