
SEREMBAN, 9 Julai – Sebanyak 342 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang aktif di seluruh Negeri Sembilan menerima Geran Khas Kerajaan Negeri berjumlah RM342,000 sebagai usaha memperkasa peranan komuniti dalam memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat.
- Geran sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap KRT pada Majlis Penyampaian Geran Khas peringkat Negeri.
- Menteri Besar menegaskan geran bukan sekadar bantuan kewangan tetapi pelaburan sosial memperkukuh perpaduan dan kesukarelawanan.
- Inisiatif ini memperkasakan komuniti akar umbi untuk meluaskan program perpaduan, kesukarelawanan dan kesejahteraan masyarakat.
Geran sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap KRT pada Majlis Penyampaian Geran Khas Kawasan Rukun Tetangga Peringkat Negeri Sembilan 2026 di sini, hari ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukan tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh peranan KRT sebagai pemacu perpaduan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.
“Kerajaan tidak melihat geran sejumlah RM342,000 sebagai satu bentuk perbelanjaan semata-mata, sebaliknya kita melihat sebagai satu pelaburan sosial yang menghasilkan pulangan yang jauh lebih besar kepada masyarakat”, katanya.
Datuk Seri Aminuddin berucap pada Majlis Penyampaian Geran Khas Kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tahun 2026 Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman serta barisan kepimpinan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Kesemua 342 KRT aktif daripada seluruh negeri itu menerima geran berkenaan, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan komuniti setempat serta memperluas penganjuran program yang menyemarakkan semangat perpaduan, kesukarelawanan dan kesejahteraan masyarakat.