PKS Malaysia kekal kukuh hasil intervensi pantas kerajaan – SAMENTA

Foto hiasan/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menjangkakan ekonomi negara akan terus kukuh, disokong oleh pelaburan berskala besar yang berterusan ke dalam sektor pusat data dan infrastruktur digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan pantas kerajaan melindungi PKS daripada impak terburuk krisis tenaga, mengekalkan ketahanan ekonomi domestik.
  • Perancangan fiskal tepat, pengurusan rantaian bekalan strategik dan bantuan kewangan bersasar mengekalkan kestabilan ekonomi.
  • Kerajaan mengekalkan subsidi petrol dan langkah antipencatutan membantu mengekalkan inflasi di bawah dua peratus.
  • SAMENTA lancar Pensijilan Ekonomi Kitaran ASEAN dan jelajah 50 Hyperlocal AI Fest bagi bantu PKS kurangkan kebergantungan, tingkatkan produktiviti.

Presidennya, Datuk William Ng berkata momentum positif tersebut berpotensi dicapai melalui jalinan kerjasama erat antara pihak industri dan kerajaan.

Menurut beliau, tindakan pantas kerajaan telah berjaya melindungi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada impak terburuk krisis tenaga global dan membolehkan ekonomi domestik terus berdaya tahan di sebalik ketidaktentuan geopolitik.

”Hasil perancangan fiskal yang tepat, pengurusan strategik rantaian bekalan serta pelaksanaan bantuan kewangan bersasar telah membantu mengekalkan kestabilan ekonomi negara.

”Kejayaan itu turut disokong oleh komitmen kerajaan mengekalkan subsidi petrol domestik dan penguatkuasaan langkah antipencatutan yang membantu mengekalkan inflasi di bawah paras dua peratus,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, pengurusan awal stok simpanan bahan api serta koordinasi logistik yang cekap di pelabuhan utama turut mengelakkan gangguan bekalan, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing terhadap ekonomi negara.

Jelasnya, langkah-langkah strategik ini telah meletakkan Malaysia pada kedudukan yang amat menguntungkan dan kurang terkesan di rantau ASEAN.

Menurut beliau, bagi membantu PKS membina daya tahan tenaga yang mampan, SAMENTA telah melancarkan Pensijilan Ekonomi Kitaran yang pertama di rantau ASEAN bagi memandu sektor itu mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan mentah utama dan tenaga fosil.

Pada masa sama, persatuan itu giat menggerakkan program jelajah 50 Hyperlocal AI Fest di seluruh negara untuk membimbing PKS mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian bagi melonjakkan produktiviti.

”SAMENTA kekal komited untuk terus menyokong penuh usaha kerajaan dalam memastikan sektor PKS tempatan sentiasa dilindungi daripada sebarang risiko cabaran luaran, sambil mempersiapkan mereka untuk mendepani landskap ekonomi masa hadapan,” tambahnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.