
PUTRAJAYA, 9 Julai — Malaysia mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih nilai pelaburan berjumlah RM249.2 juta menerusi penyertaan negara dalam Annecy International Animation Film Festival and Market (MIFA) 2026.
- Melepasi sasaran awal RM100 juta, kejayaan itu sahkan strategi kerajaan memperkukuh Malaysia sebagai hab animasi antarabangsa
- Penyertaan diterajui Kementerian Komunikasi bersama FINAS dan 11 syarikat tempatan mempromosi IP, kepakaran teknikal dan keupayaan industri
- Syarikat Malaysia memeterai kerjasama penerbitan bersama, perkhidmatan animasi, pengedaran IP serta tarikan produksi antarabangsa melalui FIMI
Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan memaklumkan pencapaian itu sekali gus melepasi sasaran awal RM100 juta yang ditetapkan.
Menurut kementerian, kejayaan berkenaan membuktikan keberkesanan strategi kerajaan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab industri animasi dan kandungan kreatif yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Penyertaan Malaysia diterajui Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta melibatkan 11 syarikat animasi tempatan yang mempromosikan harta intelek, kepakaran teknikal dan keupayaan industri negara kepada pemain global,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang penyertaan di MIFA 2026, syarikat Malaysia berjaya memeterai pelbagai potensi kerjasama melibatkan penerbitan bersama, perkhidmatan animasi, pelaburan kandungan kreatif, pengedaran IP serta pembangunan projek baharu termasuk kemasukan produksi antarabangsa ke Malaysia menerusi inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI).
Kementerian itu berkata kejayaan tersebut mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur dan rakan strategik global terhadap bakat, kreativiti serta ekosistem industri kreatif negara.
“Kerajaan komited untuk terus memperkukuh pembangunan industri kreatif melalui kerjasama strategik bersama agensi dan pemain industri, selaras aspirasi Malaysia MADANI untuk menjadikan sektor ekonomi kreatif sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.