
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Malaysia Airlines Bhd memperkukuh rangkaiannya di China menerusi pengenalan perkhidmatan terus dari Kuala Lumpur ke Shenzhen dan Changsha, menjadikan syarikat penerbangan nasional itu kini beroperasi ke sembilan destinasi di negara berkenaan.
- Perkhidmatan sulung ke Shenzhen (1 Julai, MH522, KLIA 21:05) dan Changsha (8 Julai, MH520, KLIA 20:00) dilancarkan.
- Kedua-dua laluan menggunakan pesawat Boeing 737-8 dengan kekerapan sehingga tujuh penerbangan seminggu.
- MAG berkata laluan baru tingkatkan kemudahan, kukuhkan perdagangan dan pelancongan serta sokong Tahun Melawat Malaysia 2026 dan peranan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk Asia.
Malaysia Airlines dalam kenyataan berkata peluasan rangkaian itu mencerminkan peningkatan permintaan perjalanan antara Malaysia dan China yang dipacu hubungan ekonomi yang semakin kukuh, selain pertumbuhan perjalanan bagi tujuan perniagaan dan pelancongan.
”Perkhidmatan sulung ke Shenzhen bermula pada 1 Julai lalu menerusi penerbangan MH522 yang berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.05 malam waktu tempatan.
”Laluan ke Changsha pula dilancarkan pada 8 Julai menerusi penerbangan MH520 yang berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 malam waktu tempatan,” menurut kenyataan itu.
Menurut Malaysia Airlines, kedua-dua laluan yang menggunakan pesawat Boeing 737-8 dengan kekerapan sehingga tujuh penerbangan seminggu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Bryan Foong berkata pelancaran laluan baharu itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat memperluaskan rangkaiannya di China.
“Melalui hubungan terus antara Kuala Lumpur dengan Shenzhen dan Changsha, kami dapat menawarkan lebih banyak kemudahan dan fleksibiliti kepada penumpang, disamping mengukuhkan hubungan perdagangan, pelancongan serta hubungan rakyat antara kedua-dua negara.
“Ketika Malaysia mengalu-alukan lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, peluasan rangkaian ini turut menyokong aspirasi kami untuk meletakkan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama ke Asia dan destinasi antarabangsa lain,” katanya.