China adakan peringatan ulang tahun ke-89 menentang Jepun

Jambatan Lugou di Daerah Fengtai, lokasi dianggap sebagai permulaan pencerobohan besar-besaran Jepun ke atas China/ REUTERS

BEIJING, 8 Julai Pelbagai acara diadakan di seluruh China pada Selasa bagi memperingati ulang tahun ke-89 bermulanya perang penentangan seluruh negara terhadap pencerobohan Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden Jambatan Lugou 1937 dianggap permulaan pencerobohan Jepun dan titik mula penentangan menyeluruh rakyat China.
  • Upacara di Muzium Perang Penentangan di Beijing dipengerusikan oleh Yin Li; pelajar bacakan puisi, nyanyian, dan meletak kalungan bunga.
  • Siren dilaungkan di Shaanxi dan Hebei; pameran Unit 731 di Harbin bongkar bukti penggunaan senjata kimia tentera Jepun.

Insiden 7 Julai yang turut dikenali sebagai Insiden Jambatan Lugou pada 1937, dianggap sebagai permulaan pencerobohan besar-besaran Jepun ke atas China serta titik mula penentangan rakyat China secara menyeluruh terhadap tentera Jepun.

Susulan insiden yang berlaku di barat daya Beiping (kini Beijing) itu, bandar berkenaan ditawan tentera Jepun pada 29 Julai 1937. Lebih 10,000 orang awam terbunuh atau hilang ketika kejatuhan bandar tersebut.

Satu upacara memperingati peristiwa itu diadakan di Muzium Perang Penentangan Rakyat China terhadap Pencerobohan Jepun di Beijing pada pagi Selasa.

Upacara berkenaan dipengerusikan anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) yang juga Setiausaha Jawatankuasa CPC Beijing Yin Li.

Pada pukul 9 pagi, acara dimulakan dengan lagu kebangsaan China, diikuti bacaan puisi dan persembahan lagu daripada pelajar dari ibu negara itu bagi menzahirkan tekad generasi muda untuk meneruskan semangat perjuangan serta memperingati jasa wira dan pahlawan.

Para peserta turut meletakkan kalungan bunga dan tunduk memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban ketika menentang pencerobohan Jepun.

Siren serangan udara turut dibunyikan di wilayah Shaanxi di barat laut China dan Hebei di utara China sebagai peringatan kepada rakyat supaya mengingati sejarah serta sentiasa berwaspada ketika keamanan.

Di bandar Nanjing, wilayah Jiangsu di timur China, wakil daripada pelbagai sektor membunyikan Loceng Keamanan di Dewan Memorial Mangsa Pembunuhan Beramai-ramai Nanjing oleh Penjajah Jepun bagi mengenang jasa pejuang revolusi dan mangsa tragedi berkenaan.

Pembunuhan beramai-ramai Nanjing berlaku selepas tentera Jepun menawan Nanjing, yang ketika itu merupakan ibu negara China, pada 13 Disember 1937. Peristiwa itu mengorbankan lebih 300,000 orang awam dan anggota tentera China yang tidak bersenjata.

Di bandar Shenyang, wilayah Liaoning di timur laut China, pelajar melafazkan ikrar untuk meneruskan semangat perjuangan revolusi di hadapan Monumen Kalendar Rosak di Muzium Sejarah 18 September.

Pada malam 18 September 1931, Tentera Kwantung Jepun meletupkan sebahagian landasan Kereta Api Manchuria Selatan berhampiran Tasik Liutiao di pinggir utara Shenyang.

Jepun kemudian menuduh tentera China bertanggungjawab terhadap kejadian itu dan menjadikannya alasan untuk menyerang Beidaying, lokasi penempatan Tentera Timur Laut China, sebelum mengebom Shenyang.

Insiden 18 September dan penentangan susulan rakyat China dianggap sebagai permulaan Perang Penentangan Rakyat China terhadap Pencerobohan Jepun.

Di bandar Harbin, wilayah Heilongjiang, Dewan Pameran Bukti Jenayah Unit 731 Tentera Imperial Jepun mempamerkan dokumen arkib yang menjadi bukti utama bahawa penggunaan senjata kimia oleh tentera Jepun merupakan jenayah negara yang dirancang, tersusun dan sistematik.

Di bandar Yangquan, wilayah Shanxi, orang ramai mengunjungi Dewan Memorial Serangan Seratus Rejimen yang mempamerkan lebih 470 gambar sejarah dan lebih 200 bahan pameran berkaitan perjuangan Parti Komunis China bersama tentera serta rakyat menentang pencerobohan Jepun.

Serangan 100 Rejimen merupakan operasi balas yang dilancarkan Tentera Laluan Kelapan yang diketuai Parti Komunis China pada era Perang Dunia Kedua. Operasi itu bertujuan mengganggu gerakan tentera Jepun dan meningkatkan semangat rakyat China.

Operasi yang bermula pada malam 20 Ogos 1940 itu melibatkan 105 rejimen tentera dan berlangsung lebih lima bulan sebelum berakhir pada Januari 1941. Sepanjang operasi itu, sebanyak 1,824 pertempuran berlaku yang mengakibatkan lebih 20,000 korban dalam kalangan tentera Jepun.

Pasukan tentera di seluruh China turut mengadakan pelbagai aktiviti peringatan termasuk memberi penghormatan kepada pejuang revolusi di tanah perkuburan, melawat muzium sejarah dan ketenteraan serta mengulangi ikrar menyertai parti.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.