Pesawat kargo Boeing 737 Pakistan menuju Karachi terputus hubungan

Tangkap layar penjejakan penerbangan Flightradar24/ REUTERS

ISLAMABAD, 8 Julai – Sebuah pesawat kargo Boeing 737 berdaftar Pakistan yang membawa lima kru terputus hubungan dengan kawalan trafik udara pada Selasa malam selepas melaporkan masalah sistem navigasi ketika dalam penerbangan dari Sharjah ke Karachi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak berkuasa penerbangan Pakistan.
  • Radar menunjukkan pesawat menjunam pantas tiga minit selepas kawalan trafik cuba membantu; komunikasi kemudian terputus.
  • Data penjejakan menunjukkan kemungkinan terhempas di laut barat daya Karachi berhampiran Ormara; K2 Airways dan Boeing belum beri komen.

Pihak berkuasa penerbangan Pakistan memaklumkan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan susulan insiden berkenaan.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan menerusi Facebook, pesawat berusia 27 tahun yang dikendalikan K2 Airways itu melaporkan masalah sistem navigasi pada 9.18 malam waktu tempatan ketika dalam perjalanan menuju Karachi.

Pihak kawalan trafik udara tempatan cuba membantu mengarahkan pesawat berkenaan, namun tiga minit kemudian sistem radar menunjukkan pesawat itu menjunam dengan pantas sebelum komunikasi terputus.

Menurut kenyataan itu, pesawat berkenaan ketika itu berada kira-kira 155 batu nautika di barat Karachi.

Data awal menunjukkan kemungkinan pesawat itu terhempas di laut di barat daya Karachi, menurut perkhidmatan penjejakan penerbangan Flightradar24 menerusi platform X.

Media tempatan Geo News melaporkan pesawat itu hilang ketika terbang di ruang udara Laut Arab berhampiran Ormara, wilayah Balochistan, Pakistan.

K2 Airways dan pengeluar pesawat Boeing bagaimanapun belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.