
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Usaha kerajaan membangunkan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) bertujuan memperkukuh ketelusan, akauntabiliti serta tadbir urus negara demi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam.
- Akses maklumat perlu dilihat sebagai instrumen membina kepercayaan rakyat terhadap institusi, bukan sekadar penggubalan undang-undang.
- Dalam era digital, maklumat sahih mesti disampaikan untuk elak spekulasi dan penyebaran berita tidak tepat.
- Model akses disesuaikan dengan latar belakang undang-undang, kepelbagaian dan keselamatan negara; tidak meniru secara langsung model luar.
- Hak mendapatkan maklumat mesti disertai tanggungjawab etika, dan semua pihak perlu mengamalkan budaya ketelusan serta akauntabiliti.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri Datuk Zamri Misman berkata, akses kepada maklumat perlu dilihat sebagai instrumen untuk membina kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan institusi awam, bukan sekadar menggubal sebuah akta baharu.
Dalam era digital yang menyaksikan penyebaran maklumat berlaku dengan pantas, kerajaan perlu memastikan maklumat yang sahih dapat disampaikan kepada rakyat bagi mengelakkan spekulasi dan penyebaran berita tidak tepat.
“Jika ruang maklumat tidak dipenuhi dengan fakta yang benar, ia akan dipenuhi dengan spekulasi yang akhirnya boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Kebebasan Maklumat anjuran Badan Peguam Malaysia dan Centre for Independent Journalism (CIJ), di ibu negara.
Pendekatan Malaysia dalam membangunkan kerangka akses kepada maklumat tidak meniru sepenuhnya model luar, sebaliknya mengambil kira keperluan negara yang mempunyai latar belakang, sistem perundangan, kepelbagaian masyarakat serta aspek keselamatan yang tersendiri.
Kerangka tersebut menyeimbangkan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat dengan keperluan melindungi maklumat yang berkaitan keselamatan negara, hubungan antarabangsa, kepentingan ekonomi dan privasi individu.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa hak mendapatkan maklumat perlu disertai dengan tanggungjawab menggunakannya secara beretika dan berintegriti.
Dalam pada itu semua pihak termasuk kerajaan, media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil (CSO), sektor swasta dan masyarakat mengamalkan budaya ketelusan serta akauntabiliti dalam pengurusan maklumat.
Ketelusan tidak seharusnya hanya dituntut daripada kerajaan, malah perlu menjadi budaya nasional yang diamalkan oleh semua institusi yang mempunyai pengaruh terhadap kepentingan awam.
Akses kepada maklumat mampu menjadi pemangkin kepada pembinaan negara melalui pengukuhan kepercayaan rakyat, sekali gus meningkatkan kestabilan institusi, daya saing ekonomi dan kematangan demokrasi negara.
FOI, ATI atau Right to Information (RTI) merupakan instrumen membina kepercayaan, ketelusan perlu dijadikan budaya nasional, manakala Malaysia sedang membangunkan model akses kepada maklumat yang mengimbangi keterbukaan, akauntabiliti dan kepentingan negara.