Maszlee harap sesi dialog pupuk budaya politik matang

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik ketika Sesi Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Auditorium RTM Johor Bahru malam ini / Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 7 Julai – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik berharap sesi dialog politik yang disertainya dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya politik yang lebih matang dalam kalangan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program dialog dianggap platform terbaik mendidik rakyat membuat pilihan berdasarkan merit dan bagi calon jelaskan dasar masing-masing.
  • Menggalakkan budaya politik matang melalui debat dasar seperti amalan negara maju dan negara jiran.
  • Jentera PH memberi tumpuan meningkatkan peratusan keluar mengundi dalam baki tempoh berkempen.
  • Kadar keluar mengundi tinggi penting untuk memastikan kerajaan yang dibentuk memperoleh mandat kukuh.

Beliau berkata, program dialog seperti itu merupakan platform terbaik untuk mendidik rakyat membuat pilihan berdasarkan merit, selain memberi peluang kepada calon menjelaskan dasar dan hala tuju masing-masing.

“Saya terima kerana saya sentiasa inginkan politik baharu, politik matang. Kita lihat di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, malah di negara jiran seperti Indonesia, debat politik menjadi amalan kerana sifat seorang ahli politik ialah memperdebatkan dasar yang dibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Dialog PRN Johor di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Mengulas mengenai baki tiga hari tempoh berkempen, bekas Menteri Pendidikan itu berkata, tumpuan utama jentera PH ketika ini adalah meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Menurut beliau, kadar keluar mengundi yang tinggi penting bagi memastikan kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya memperoleh mandat yang kukuh daripada rakyat.

Dialog PRN Johor itu dianjurkan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani dan Sinar Harian di Auditorium Permata Sari, Jabatan Penyiaran Negeri Johor.

Hari pengundian PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai ini dan pengundian awal telah selesai hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.