
RAMALLAH, 5 Julai – Persatuan Tahanan Palestin pada Ahad memaklumkan bahawa Pengarah Hospital Kamal Adwan di Gaza, Dr Hussam Abu Safiya, yang ditahan pihak berkuasa Israel, telah dipindahkan ke satu bahagian penjara yang dikenali sebagai “Rakefet”.
- Persatuan bimbang terhadap keadaan fizikal dan psikologi Abu Safiya, menyifatkan bahagian penjara itu berisiko tinggi.
- Abu Safiya terus ditahan tanpa pertuduhan rasmi di bawah "Undang-Undang Pejuang Haram".
- Penahanan berterusan petugas perubatan dilihat sebagai sebahagian kempen menggugat kemudahan kesihatan Gaza.
- Persatuan menggesa ICRC, PBB dan badan antarabangsa campur tangan segera serta bertindak bagi menjamin keselamatan dan pembebasan.
Pertubuhan hak asasi manusia Palestin menyifatkan bahagian itu sebagai kemudahan berkeselamatan tinggi, ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap keadaan fizikal dan psikologi beliau.
Dalam satu kenyataan, pertubuhan itu berkata Abu Safiya terus ditahan tanpa sebarang pertuduhan rasmi di bawah undang-undang yang dirujuk Israel sebagai “Undang-Undang Pejuang Haram”, sambil menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan tahanan dan tahap kesihatan beliau yang dilaporkan.
Persatuan Tahanan Palestin berkata penahanan berterusan terhadap petugas perubatan dari Gaza, termasuk Abu Safiya adalah sebahagian daripada kempen yang menyasarkan petugas kesihatan.
Pertubuhan itu menggesa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya campur tangan segera bagi memastikan mereka dilindungi serta dibebaskan.
Persatuan itu meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas pihak berkuasa Israel terhadap keselamatan Abu Safiya, petugas perubatan lain yang ditahan serta tahanan Palestin.
Menurutnya, negara yang memberikan sokongan politik dan ketenteraan kepada rejim Zionis turut memikul tanggungjawab terhadap berterusannya pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.
Kenyataan itu menambah bahawa kecaman semata-mata tidak lagi memberi kesan praktikal dalam menghadapi apa yang disifatkannya sebagai pemusnahan secara sistematik yang menyasarkan tahanan Palestin.
Kenyataan itu diakhiri dengan memetik kata-kata Abu Safiya kepada peguamnya: “Ini kali terakhir kamu akan berjumpa saya … Mereka membawa saya ke sini untuk membunuh saya. Saya tidak melihat diri saya akan keluar dari sini dalam keadaan hidup. Inilah pengakhirannya.” – BERNAMA