Ebola : Lebih 1,500 kes disahkan, 473 kematian di DR Congo

Foto AFP

DR CONGO, 4 Julai – Sebanyak 1,502 kes Ebola dilaporkan di Republik Demokratik Congo (DRC), termasuk 473 kematian direkodkan, ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak itu masih berada pada tahap serius.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penularan berterusan di wilayah timur Ituri dan North Kivu menjadikan situasi semasa amat membimbangkan.
  • Wabak ini merupakan penularan Ebola Bundibugyo terbesar yang pernah direkodkan.
  • Pengesanan kes dan kontak menjadi sukar kerana wabak berlaku di kawasan konflik dan kumpulan bersenjata.
  • Ujian klinikal dimulakan di DR Congo untuk menilai rawatan berpotensi, tiada vaksin atau rawatan khusus diluluskan.

Menurut laporan terkini oleh pihak berkuasa kesihatan awam DR Congo, seramai 628 pesakit kini menjalani pengasingan atau menerima rawatan di hospital, manakala 229 pesakit telah pulih. Sebanyak 213 kes disyaki, termasuk 63 kematian, turut direkodkan.

Pengarah WHO bagi Afrika, Mohamed Yakub Janabi, berkata penularan wabak masih berterusan di wilayah timur Ituri dan North Kivu, menjadikan situasi semasa amat membimbangkan.

Beliau berkata, wabak kali ini merupakan penularan Ebola Bundibugyo terbesar yang pernah direkodkan.

Sementara itu, pakar WHO di DR Congo, Pierre Akilimali, berkata usaha mengesan kes dan kontak rapat menjadi sukar kerana wabak berlaku di kawasan yang terjejas akibat konflik serta aktiviti kumpulan bersenjata.

Kawasan perlombongan di Ituri yang menerima pergerakan keluar masuk orang ramai turut meningkatkan risiko penularan virus.

Dalam pada itu, WHO memaklumkan ujian klinikal telah dimulakan di DR Congo bagi menilai keberkesanan rawatan berpotensi terhadap Ebola yang berpunca daripada virus Bundibugyo, yang sehingga kini masih belum mempunyai vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan.-REUTERS

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.