Pengalaman Cheng Hoe mampu bantu Harimau Malaya hadapi Piala AFF

Grafik hiasan – Tan Cheng Hoe mampu galas tugas sebagai ketua jurulatih interim Harimau Malaya menjelang kempen Piala AFF

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yakin pengalaman dimiliki Tan Cheng Hoe mampu membantu beliau menggalas tugas sebagai ketua jurulatih interim Harimau Malaya menjelang kempen Piala AFF.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cabaran memulihkan kecergasan pemain selepas rehat panjang sebelum Piala AFF.
  • Latihan kecergasan awal dan pemilihan barisan terbaik menjadi fokus dalam tempoh persiapan singkat.
  • FAM melantik Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih interim kerana pengalaman, rekod cemerlang dan pemahaman bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, beliau mengakui Tan berdepan cabaran besar untuk mengembalikan tahap kecergasan pemain dalam tempoh persiapan yang singkat.

Katanya, tempoh rehat yang dilalui pemain selepas berakhirnya saingan domestik akan menjadi antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian sebelum menghadapi kejohanan yang akan membuka tirainya pada 24 Julai 2026.

Tambah beliau, fokus awal jurulatih berpengalaman itu adalah memastikan pemain kembali mencapai tahap kecergasan optimum selain mengenal pasti barisan terbaik dalam tempoh persiapan yang singkat.

“Beliau perlu melihat atau memulakan latihan kecegasan dan itu yang perlu dilakukan tetapi saya pasti dengan pengalaman yang ada selain kelebihan mengenali pemain-pemain yang boleh menunjukkan prestasi terbaik dalam masa yang singkat, saya yakin beliau mampu memilih skuad terbaik ke saingan piala AFF kali ini,” katanya kepada RTM, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui saingan Piala AFF kali ini dijangka sengit dengan kehadiran beberapa pencabar utama termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam yang dijangka menurunkan barisan terbaik masing-masing.

“Saya pasti beliau akan memanggil pemain-pemain yang sudah biasa beraksi ditambah dengan pemain-pemain yang mungkin dalam prestasi terbaik cuma sekarang bagaimana nak menggabungkan pemain-pemain ini kerana semua pemain dan juga pasukan berehat dan baru memulakan latihan pra musim dan itu antara faktor yang akan dititik beratkan,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan melantik pengarah teknikal kebangsaan, Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih interim Harimau Malaya bagi menggantikan Peter Cklamovski.

Pemilihan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas, rekod pencapaian cemerlang serta pemahaman mendalam beliau terhadap landskap bola sepak tempatan dan skuad kebangsaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.