
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli memilih Perancis sebagai calon utama muncul juara Piala Dunia 2026 berdasarkan aksi konsisten yang dipamerkan pasukan itu sepanjang kejohanan.
- Format baru 48 pasukan membuka peluang kepada lebih banyak negara beraksi di pentas Piala Dunia.
- Kemunculan Cape Verde dan Curacao serta kejutan pasukan bukan pilihan menambah kompetitif kejohanan.
- Kejohanan memberi pendedahan berharga kepada jurulatih dan pemain Malaysia untuk mempelajari corak permainan dan taktikal.
Beliau berkata skuad Les Bleus memiliki keseimbangan dari segi taktikal dan prestasi, sekali gus meletakkan mereka sebagai pilihan utama untuk menjulang trofi walaupun beberapa kuasa besar lain turut mempunyai peluang.
“Saya nampak pasukan paling konsisten adalah pasukan Perancis. Itu adalah pasukan yang saya rasa boleh pergi hingga ke final tetapi pasukan seperti Brazil, Portugal, Argentina juga adalah pasukan-pasukan yang mungkin boleh ke final tetapi Perancis tetap pilihan utama saya,” katanya ketika kepada RTM, hari ini.
Mengulas saingan edisi kali ini, Akmal Rizal yang juga Ketua Jurulatih Kedah FA berkata format baharu melibatkan 48 pasukan membuka peluang kepada lebih banyak negara beraksi di pentas Piala Dunia.
Katanya, peluang itu dimanfaatkan pasukan seperti Cape Verde yang mencipta sejarah penampilan sulung sebelum tersingkir 2-3 kepada Argentina pada pusingan 32 terbaik.
Menurutnya, kejohanan kali ini menyaksikan beberapa pasukan bukan pilihan berjaya mencipta kejutan sekali gus menjadikan persaingan lebih kompetitif.
Pada masa sama, kejohanan itu turut memberi pendedahan kepada jurulatih dan pemain untuk mempelajari pelbagai corak permainan yang dipamerkan pasukan dari seluruh dunia.
“Kita dapat melihat kemunculan pasukan seperti Cape Verde dan Curacao, selain pasukan gergasi seperti Perancis, Brazil, Portugal dan Argentina yang terus mengekalkan dominasi mereka.Bagi saya, Piala Dunia kali ini cukup menarik kerana banyak perkara boleh dipelajari daripada setiap pasukan, sama ada dari segi corak permainan mahupun pendekatan taktikal.
“Ia menjadi pendedahan yang sangat baik kepada jurulatih dan pemain di Malaysia untuk memahami bagaimana bola sepak dimainkan di peringkat tertinggi dunia,” katanya.