
HYDERABAD, 20 November – ASEAN dan Pakistan pada Khamis berikrar mempererat hubungan dengan meningkatkan perdagangan serta memperluas kerjasama keselamatan.
- Memanfaatkan peluang menjelang ulang tahun ke-35 perkongsian dialog untuk memperkukuh asas hubungan dan menterjemahnya kepada kerjasama substantif.
- Memperluas dan mempelbagaikan perdagangan serta pelaburan, meningkatkan kesalinghubungan digital dan pemudahcaraan perdagangan untuk manfaat ekonomi.
- Mengukuhkan kerjasama keselamatan dan diplomasi, menggalakkan keamanan serantau serta mengiktiraf peranan Pakistan dalam ARF dan pemudah gencatan senjata.
Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menekankan hubungan erat yang sekian lama terjalin antara ASEAN dan Pakistan semasa lawatan beliau, yang merupakan kunjungan pertama ketua blok serantau itu ke negara Asia Selatan berkenaan dalam tempoh dua dekad.
“Ketika kita menghampiri ulang tahun ke-35 perkongsian dialog sektoral pada 2028, kita mempunyai peluang untuk memperkukuh asas hubungan sedia ada dan menterjemahkan hubungan jangka panjang ini kepada kerjasama yang lebih substantif serta manfaat nyata kepada rakyat kita,” katanya dalam kenyataan kepada media di Islamabad bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar.
Dar dan Kao turut menyentuh potensi besar yang masih belum diterokai dalam bidang perniagaan serta hubungan rakyat dengan rakyat.
Perdagangan barangan dua hala pada 2025 bernilai kira-kira US$10.3 bilion.
“Ini menyediakan asas yang baik untuk memperluas dan mempelbagaikan hubungan perdagangan serta pelaburan, meningkatkan kesalinghubungan digital dan menggalakkan kerjasama perniagaan,” kata Setiausaha Agung ASEAN itu.
Pakistan dan ASEAN turut melihat peluang baharu dalam bidang tenaga boleh baharu, sekuriti makanan, pertanian mampan, sains dan teknologi serta sektor halal.
“Kerjasama ekonomi menjadi tumpuan utama perbincangan kami. Kami meneroka kaedah untuk memperluas perdagangan dan pelaburan menerusi pemudahcaraan perdagangan, penambahbaikan kesalinghubungan serta integrasi digital yang lebih meluas,” kata Timbalan Perdana Menteri Pakistan itu.
Kao turut menekankan kerjasama kedua-dua pihak dalam mempromosikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.
“Pakistan merupakan peserta aktif dalam Forum Serantau ASEAN (ARF), dan kami menghargai sumbangannya dalam membina keyakinan serta diplomasi pencegahan,” katanya.
Setiausaha Agung ASEAN itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketidaktentuan berterusan di Asia Barat serta kesan geopolitik dan kemanusiaannya.
Beliau berkata ASEAN mengalu-alukan “peranan konstruktif Pakistan dalam menjadi pengantara gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran” serta usaha negara itu menggalakkan dialog dan meredakan ketegangan.
Kao berkata perlu ada “penghentian permusuhan secara menyeluruh dan serta-merta di semua medan konflik di Asia Barat.” – BERNAMA