Dilema sukan: Demam Piala Dunia atau tenis Wimbledon?

Gambar hiasan

LONDON, 4 Julai – Bahang Piala Dunia FIFA 2026 turut dirasai di Kejohanan Wimbledon apabila penonton dan pemain mengikuti perkembangan bola sepak menerusi telefon bimbit, meskipun penganjur tidak menayangkan perlawanan di skrin sekitar kompleks kejohanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sorakan selepas jaringan Harry Kane mengganggu perlawanan Wimbledon, mencetuskan kekeliruan di Centre Court dan Court No. 1.
  • Juara bertahan Barbora Krejcikova tersalah sangka sorakan ditujukan kepadanya sebelum sedar ia meraikan jaringan England.
  • Pengarah kejohanan Jamie Baker berkata suasana tidak terjejas; pemain berbincang dan meminta penyesuaian jadual untuk mengikuti aksi bola sepak.

Sorakan bergema di Centre Court dan Court No. 1 apabila kapten England, Harry Kane menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Republik Demokratik Congo dalam aksi Piala Dunia, sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pemain yang sedang beraksi.

Juara bertahan Wimbledon, Barbora Krejcikova, malah berseloroh menyangka sorakan itu ditujukan kepada perlawanannya sebelum menyedari ia sebenarnya meraikan jaringan England.

Ketua Pegawai Eksekutif All England Club, Sally Bolton sebelum ini menegaskan tiada siaran langsung Piala Dunia akan dipaparkan di mana-mana skrin rasmi kejohanan, termasuk di kawasan pemain.

Bagaimanapun, Pengarah Kejohanan Wimbledon, Jamie Baker berkata pihaknya tidak dapat menghalang penonton mengikuti aksi bola sepak menerusi telefon bimbit masing-masing.

“Kami tidak fikir ia menjejaskan suasana di kawasan kejohanan. Ada perkara yang boleh dikawal dan ada yang tidak,” katanya.

Menurut Baker, pemain turut berbincang mengenai aksi Piala Dunia, malah ada yang mengemukakan pelbagai permintaan berkaitan jadual bagi membolehkan mereka mengikuti kejohanan itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.