
MIAMI, 4 Julai – Kapten Argentina, Lionel Messi akui pasukannya berdepan tentangan sengit daripada Cape Verde sebelum menang dramatik 3-2 selepas masa tambahan untuk mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026.
- Rekod Cape Verde tanpa kalah kepada Sepanyol dan Uruguay menunjukkan mereka bukan lawan mudah.
- Argentina kehilangan rentak, gagal menekan secara konsisten dan membenarkan Cape Verde bangkit mengikat kedudukan.
- Perlawanan Piala Dunia menuntut pengorbanan dan disiplin tinggi, tiada pasukan mudah.
- Argentina berkesan memanfaatkan bola mati, Messi anggap ia akan terus jadi senjata penting.
Messi, yang menjaringkan gol ke-20 peribadinya di pentas Piala Dunia, berkata rekod Cape Verde yang tidak tewas kepada Sepanyol dan Uruguay membuktikan pasukan itu bukan lawan yang boleh dipandang mudah.
“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar. Bukan tanpa sebab mereka tidak tewas kepada Sepanyol dan Uruguay. Kami menjangkakan permainan akan menjadi lebih mudah selepas menjaringkan gol pertama, namun keadaan berlaku sebaliknya,” katanya.
Menurut Messi, Argentina kehilangan rentak permainan, gagal memberi tekanan secara konsisten dan membenarkan Cape Verde memanfaatkan kekuatan mereka untuk bangkit mengikat kedudukan.

Beliau berkata, aksi itu sekali lagi membuktikan tiada pasukan mudah di Piala Dunia apabila setiap perlawanan menuntut pengorbanan dan disiplin tinggi.
“Kami tahu ia tidak akan mudah. Semua pasukan di Piala Dunia ini mempunyai kualiti dan setiap perlawanan amat mencabar.
“Apa yang penting sekarang ialah berehat, mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dan memperbaiki kelemahan sebelum aksi seterusnya,” katanya.
Messi turut memuji keupayaan Argentina memanfaatkan situasi bola mati untuk memastikan kemenangan.
Katanya, aspek itu akan terus menjadi senjata penting dalam saingan seterusnya.
Argentina mara ke pusingan 16 terbaik selepas menamatkan kebangkitan luar biasa Cape Verde menerusi gol sendiri Diney Borges pada minit ke-111. – AFP