
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Syarikat pengeluar perubatan dan farmaseutikal digesa untuk merancang rantaian bekalan dengan lebih awal bagi memastikan kestabilan stok ubat-ubatan untuk jangka masa panjang bagi kegunaan rakyat.
- Peraturan pendaftaran dan pematuhan diperketat, menyebabkan proses kelulusan ubat mengambil masa lebih lama dan menaikkan kos untuk pengeluar.
- Garis panduan yang ketat menyumbang kepada kelewatan kemasukan produk kesihatan ke pasaran tempatan.
- Integrasi kecerdasan buatan (AI) disarankan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kos operasi perusahaan kecil dan sederhana.
- Kos bahan aktif import dan kos pengangkutan meningkat akibat ketidaktentuan geopolitik dan kenaikan harga petroleum, menambah tekanan kos industri.
Perunding Industri Peranti Perubatan, Evin Lim berkata, ia susulan tempoh pendaftaran dan kelulusan ubat-ubatan di Malaysia kini semakin panjang, sekali gus memerlukan komitmen masa serta kos lebih tinggi daripada pemain industri.
“Peraturan baharu telah diperketat. Kini, proses pendaftaran bagi ubat-ubatan sedia ada di pasaran yang ingin dibawa masuk atau didaftarkan di Malaysia akan mengambil masa lebih lama.
“Oleh itu, syarikat atau pengeluar farmaseutikal perlu merangka pelan yang teliti jika berhasrat memasarkan produk mereka di negara ini. Pada masa sama, kita perlu memastikan sektor farmaseutikal mampu mengekalkan bekalan ubat yang mencukupi untuk jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media hari ini.
Garis panduan pematuhan peraturan sedia ada yang semakin ketat turut menyumbang kepada kelewatan kemasukan produk kesihatan ke pasaran tempatan.
Bagi mendepani krisis kos tersebut pemain industri, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) disaran beralih kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Integrasi AI dalam ekosistem perkilangan dilihat mampu mewujudkan sistem pengeluaran lebih efektif serta mengurangkan kos operasi secara drastik seterusnya mengimbangi impak inflasi bahan mentah demi menjamin kelangsungan pasaran farmaseutikal negara.
Cabaran utama lain yang menjejaskan sektor itu termasuk peningkatan ketara kos bahan aktif import selain didorong pelbagai faktor global ekoran ketidaktentuan geopolitik dunia.
Faktor luar kawalan seperti konflik peperangan di peringkat antarabangsa serta lonjakan harga petroleum dunia telah meningkatkan kos pengangkutan dan operasi perkilangan di Malaysia secara langsung.
“Industri farmaseutikal kini berdepan cabaran ekoran peningkatan kos bahan aktif yang disebabkan oleh faktor global seperti peperangan dan kenaikan harga petroleum.
“Perkembangan ini sekali gus meningkatkan kos perkilangan di Malaysia, yang seterusnya memberi impak langsung kepada kos produk farmaseutikal di pasaran,” katanya lagi.
Industri tersebut turut berdepan cabaran kos tenaga buruh yang semakin meningkat yang menuntut syarikat pengilang untuk menyusun semula strategi pengurusan perniagaan masing-masing.