Kerjasama Kerajaan Persekutuan-Negeri mampu pacu pertumbuhan Johor

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming / Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 4 Julai – Malaysia kini berada pada landasan tepat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, didukung kestabilan politik, konsistensi dasar serta prestasi ekonomi dan perdagangan yang berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Negeri memudahkan pelaksanaan rancangan pembangunan, projek infrastruktur dan inisiatif awam demi kepentingan rakyat.
  • Hubungan stabil mempercepat pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan lebih banyak dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk masyarakat tempatan.
  • Johor memperoleh pelaburan bernilai RM110 bilion melalui MIDA, menunjukkan manfaat langsung kerjasama kerajaan kepada pembangunan negeri.
  • Diplomasi proaktif dan perkongsian strategik, termasuk kerjasama tenaga jangka panjang, membuka ruang pelaburan dan menjamin bekalan minyak serta gas.

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, perkara itu amat penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur serta memastikan kemakmuran jangka panjang di Johor.

Menurut beliau, negeri itu mampu memperoleh manfaat lebih besar apabila kerajaan pada kedua-dua peringkat diterajui gabungan yang sama, berlandaskan visi bersama dan kerjasama kukuh.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri telah membolehkan rancangan pembangunan, projek infrastruktur dan inisiatif awam dilaksanakan dengan lebih cekap demi kepentingan rakyat,” katanya.

Jelas beliau lagi, hubungan yang stabil dan saling bekerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri akan mempercepat pertumbuhan ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik untuk masyarakat setempat.

Ini termasuk pelaburan bernilai RM110 bilion yang berjaya diperoleh Johor menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada tahun lalu.

Beliau berkata demikian ketika mengetengahkan pencapaian utama Kerajaan MADANI pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana DAP Yong Peng, di sini, pada Jumaat.

Antara pencapaian yang diketengahkan ialah kejayaan Malaysia menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM426.7 bilion pada 2025.

“Malaysia turut mencatat jumlah dagangan sebanyak RM3.1 trilion pada tahun sama. Selain itu, kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) meningkat daripada tangga ke-67 ke tempat ke-54, manakala Moody’s menaik taraf penarafan kredit Malaysia kepada A3,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut memaklumkan, penglibatan diplomatik secara proaktif juga membuka ruang baharu untuk pelaburan dan kerjasama.

“Ini termasuk perkongsian strategik bernilai RM52.73 bilion dengan Turkmenistan, selain kerjasama tenaga jangka panjang dengan Rusia bagi menjamin bekalan minyak dan gas negara untuk tempoh 20 tahun,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.