PRN Johor: Lapan kertas siasatan dibuka

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad. Foto/Bernama

JOHOR BAHRU, 3 JULAI – Polis membuka lapan kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi tempoh 27 Jun hingga semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima kertas siasatan membabitkan kes khianat dengan api atau bahan letupan serta perbuatan khianat merosakkan harta, dibuka mengikut Seskyen 435, 426 dan 427.
  • Polis meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan tindakan tegas, adil dan berintegriti tanpa kompromi.
  • Situasi keselamatan kekal aman; permohonan permit diproses dan aktiviti politik dipantau, polis menasihatkan elak provokasi serta penyebaran maklumat palsu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, daripada jumlah itu, lima kertas siasatan dibuka melibatkan kes khianat dengan api atau bahan letupan serta perbuatan khianat yang menyebabkan kerugian harta benda.

“Polis akan terus mempertingkatkan pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang tempoh berkempen, bagi memastikan setiap pelanggaran undang-undang diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan.

Kes-kes berkenaan dibuka mengikut Seskyen 435, 426 dan 427 Kanun Keseksaan.

Tambah Datuk Ab Rahaman, situasi keselamatan sepanjang proses PRN Johor setakat ini kekal aman dan terkawal dengan sebanyak 2,037 permohonan permit diterima dan 1,849 permohonan diluluskan bagi tempoh sama.

Dalam tempoh sama, sebanyak 1,155 aktiviti politik telah berlangsung dan dipantau petugas polis, bagi memastikan setiap program dilaksanakan secara teratur, mematuhi peruntukan undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Bagi menjamin kelancaran trafik, keselamatan serta ketenteraman awam, polis sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi melalui penugasan anggota secara berterusan di seluruh kawasan pilihan raya,” ujarnya.

Datuk Ab Rahaman dalam pada itu turut meminta semua parti politik, calon, penyokong serta masyarakat supaya terus menghormati undang-undang, mematuhi syarat permit dan mengamalkan kematangan dalam berpolitik.

Beliau turut menasihatkan semua pihak untuk tidak melakukan sebarang provokasi atau tindakan yang boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman awam, selain mengelakkan penyebaran berita palsu atau maklumat tidak sahih khususnya menerusi media sosial.

PRN Johor ke-16 menyaksikan tempoh berkempen bermula selepas proses penamaan calon pada 27 Jun lepas, manakala hari pengundian ditetapkan 11 Julai ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.