
KUANTAN, 3 Julai- Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada harga RM2.10 seliter menerusi mekanisme MyKad bermula 1 Julai di seluruh negara menerima maklum balas positif daripada pengguna layak di sini yang menyifatkan ia lebih mudah dan pantas.
- Penggunaan MyKad memudahkan proses pembelian diesel subsidi, mempercepat pengisian di stesen minyak.
- Beberapa peniaga mengadu had kuota menyukarkan operasi harian dan memerlukan perhatian.
- Harga subsidi RM2.10 seliter dianggap berpatutan untuk kegunaan harian oleh sesetengah pengguna.
Rata-rata pengguna khususnya peniaga berkata mekanisme itu memudahkan urusan pembelian diesel bersubsidi di stesen minyak tanpa prosedur rumit.
Kontraktor, Muhamad Zamri Husin berkata pelaksanaannya memudahkan proses pembelian bahan api harian.
“Sistem BUDI Diesel ini memang lancar dan memudahkan pengguna. Sekarang hanya guna MyKad sahaja dan terus boleh isi minyak,” katanya.
Peniaga pakaian, Ahmad Kamal Arifin Mohd Yussof berkata mekanisme itu memudahkan urusan pembelian walaupun terdapat had kuota.
“Memang bagus, guna MyKad itu mudah. Cuma ada had kuota sedikit,” katanya.
Peniaga ayam, Azizah Omar berkata mekanisme berkenaan mudah digunakan namun aspek kuota perlu diberi perhatian.
“Cuma kuota itu agak mencabar sedikit untuk kami peniaga,” katanya.
Peniaga ikan masin, Yeow Teck Hwe berkata proses pengisian bahan api kini lebih ringkas dan hampir sama seperti penggunaan minyak biasa.
“Lebih mudah untuk diisi,” katanya.
Seorang pesara, Mohammad Ripin berkata harga RM2.10 seliter yang ditetapkan adalah berpatutan untuk kegunaan harian.
“Setakat ini okay, harga RM2.10. Mudah untuk kegunaan harian,” katanya.
Bermula 1 Julai, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi penggunaan MyKad di semua stesen minyak di seluruh negara.
Penerima sedia ada di bawah skim BUDI Diesel turut dipindahkan secara automatik ke mekanisme baharu tanpa perlu mengemukakan permohonan baharu.