IPPFA kekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 Malaysia 4.6 peratus

KDNK 2026 negara dijangka kekal 4.6 peratus. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 3 JULAIFirma perancang kewangan, pengurusan kekayaan dan pelaburan, IPP Financial Advicers (IPPFA) mengekalkan unjuran positif terhadap ekonomi Malaysia dengan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus bagi tahun 2026, meskipun berdepan ketidaktentuan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan disokong oleh penggunaan domestik kukuh, pelaburan swasta berterusan dan pemulihan perdagangan luar.
  • Pelaburan didorong oleh pengembangan semikonduktor, pelaburan AI, infrastruktur digital dan inisiatif pembangunan negara.
  • Eksport dijangka RM1.8 trilion, import RM1.6 trilion; jumlah dagangan meningkat ~11% dengan lebihan dagangan sekitar RM200 bilion.
  • Pasaran kewangan lebih dipengaruhi dasar perdagangan AS; ketidaktentuan dasar AS kekal risiko luaran terbesar menjelang pilihan raya separuh penggal.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, unjuran itu disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaburan swasta yang berterusan serta pemulihan dalam aktiviti perdagangan luar.

“Walaupun ketidaktentuan luaran masih tinggi, pemacu pertumbuhan Malaysia kini semakin pelbagai. Penggunaan domestik terus menjadi asas kukuh, manakala pelaburan disokong oleh pengembangan industri semikonduktor, pelaburan kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital serta pelaksanaan inisiatif pembangunan negara,” katanya ketika dihubungi RTM.

Tambah beliau, Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada perubahan struktur dalam pembuatan global apabila syarikat-syarikat mempelbagaikan pengeluaran bagi mengurangkan risiko kebergantungan kepada satu negara.

Mengulas lanjut, Mohd Sedek berkata, eksport kasar negara dijangka mencecah RM1.8 trilion pada 2026, disokong oleh permintaan global yang lebih kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik serta pemulihan sektor semikonduktor.

Manakala, import pula diunjur meningkat kepada RM1.6 trilion, selari dengan peningkatan aktiviti pelaburan domestik serta keperluan import jentera dan barangan perantaraan oleh sektor pembuatan.

“Sehubungan itu, jumlah dagangan negara dijangka berkembang sekitar 11 peratus, dengan lebihan dagangan diunjurkan kembali kepada sekitar RM200 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan ekonomi luar Malaysia,” ujarnya.

Mengulas mengenai prestasi separuh pertama 2026, Mohd Sedek memaklumkan, pasaran kewangan global didapati lebih banyak dipengaruhi oleh perkembangan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) berbanding data ekonomi utama, sekali gus mencerminkan jurang antara asas ekonomi dan sentimen pelabur.

“Sepanjang separuh pertama 2026, sentimen pelabur sering berubah susulan perkembangan di Washington dan bukannya selepas pengumuman data ekonomi seperti inflasi, pekerjaan atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kami menjangkakan corak ini akan terus menjadi ciri utama pasaran kewangan pada separuh kedua tahun ini.” katanya lagi.

Beliau berpandangan, ketidaktentuan dasar perdagangan AS kekal sebagai risiko luaran terbesar kepada ekonomi global, khususnya menjelang pilihan raya pertengahan negara itu pada November.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.