
BACHOK, 2 Julai – Seorang remaja lelaki maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok kelapa tumbang ketika hujan dan angin kencang di Kampung Permatang Pasir Gunung, petang tadi.
- Penunggang, Nik Mohd Haikal, disahkan meninggal di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
- Pembonceng Ahmad Iqbal Mukmin mengalami kecederaan kepala, leher dan punggung, dihantar ke HUSM untuk rawatan.
- Ahmad Iqbal membawa tongkat kerana patah kaki akibat kemalangan sebelum ini.
- Siasatan awal mendapati mereka melalui laluan tali air berhampiran sawah sebelum pokok kelapa tumbang; hujan lebat dan angin kencang selama kira-kira lima minit.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, penunggang motosikal, Nik Mohd Haikal Abd Rahim, 17 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Rakannya, Ahmad Iqbal Mukmin, 17 tahun, mengalami kecederaan di kepala, leher dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk rawatan.
Difahamkan, Ahmad Iqbal turut membawa tongkat ketika kejadian kerana masih menjalani pemulihan selepas patah kaki akibat kemalangan sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Bachok untuk bedah siasat.
Siasatan awal mendapati kedua-dua remaja itu melalui laluan di kawasan tali air berhampiran sawah sebelum pokok kelapa berkenaan tumbang dan menghempap motosikal mereka.
Ibu mangsa, Raja Ruhana Raja Mejan, 53, berkata beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan rakan anaknya sebelum bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, saya lihat orang ramai sudah menutupi jenazah anak saya dengan kain. Saya langsung tidak sangka kejadian ribut petang tadi meragut nyawanya,” katanya ketika ditemui di Hospital Bachok.
Sementara itu, penduduk kampung, Nor Azman Mohamad, 52, berkata hujan lebat dan angin kencang melanda kawasan itu selama kira-kira lima minit sebelum pokok berkenaan tumbang.
“Apabila saya tiba di lokasi, penunggang motosikal sudah meninggal dunia, manakala pemboncengnya cedera parah,” katanya.
Menurut beliau, kejadian itu merupakan yang pertama membabitkan pokok tumbang sehingga meragut nyawa di laluan berkenaan.