Lelaki maut ditikam rakan, mayat ditemukan dalam pembetung

Seorang lelaki ditikam rakan dan mayatnya ditemukan dalam lubang pembetung di Iramanis, Kota Kinabalu / Foto PDRM

KOTA KINABALU, 2 Julai – Seorang lelaki warga asing maut dipercayai ditikam rakannya sebelum mayatnya ditemukan di dalam lubang pembetung di sebuah tapak pembinaan di belakang bilik pameran kenderaan di Iramanis, di sini, awal pagi Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa berusia 34 tahun dipercayai ditikam empat kali selepas berlaku pertengkaran kira-kira jam 1.30 pagi.
  • Kedua-dua lelaki minum di Penampang, pulang ke rumah kongsi jam 11 malam; pertengkaran dipercayai berpunca salah faham ketika mabuk.
  • Polis mengesan suspek dan senjata, mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat; kes disiasat mengikut Seksyen 302.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun dipercayai ditikam empat kali selepas berlaku pertengkaran dengan suspek.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt. Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 1.40 pagi sebelum laporan polis dibuat pada jam 2.23 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek keluar minum minuman keras di Penampang sebelum pulang ke rumah kongsi kira-kira jam 11 malam.

Pertengkaran dipercayai tercetus akibat salah faham ketika kedua-duanya berada dalam keadaan mabuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek dipercayai melarikan diri selepas kejadian, manakala mayat mangsa ditemukan di dalam lubang pembetung berhampiran lokasi.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat, manakala polis sedang giat mengesan suspek serta senjata yang digunakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-310 6882 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.