
SEREMBAN, 2 Julai – Pemegang lesen memandu baharu, khususnya penerima Program MyLesen B2, diingatkan supaya tidak menjadikan lesen yang diperoleh sebagai tiket untuk berlumba di jalan raya.
- Lesen memandu ialah amanah; jangan jadikannya tiket untuk berlumba, bawa motosikal dengan berhati-hati dan berhemah.
- Utamakan keselamatan: patuhi undang-undang jalan raya dan pakai topi keledar piawaian SIRIM setiap kali menunggang.
- Program MyLesen B2 tingkatkan peluang dan mobiliti; undang-undang diperketatkan bagi membendung lumba haram dengan hukuman lebih tegas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lesen memandu merupakan satu amanah yang perlu disertai dengan sikap bertanggungjawab, mengamalkan tunggangan berhemah serta sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.
“Kita telah melaksanakan program ini demi keselamatan. Jadi, kepada mereka yang telah memperoleh lesen, bawalah motosikal dengan berhati-hati dan berhemah. Lesen itu bukan untuk berlumba-lumba,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Menurut Loke, kira-kira 60 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, dengan majoriti mangsa berusia bawah 30 tahun.
Beliau memberitahu, kuota Program MyLesen B2 di Negeri Sembilan tahun ini ditingkatkan kepada 2,300 peserta berbanding 1,000 peserta tahun lalu. Sehingga kini, seramai 1,879 peserta berjaya memperoleh Lesen Memandu Percubaan (PDL).
Sejak diperkenalkan pada 2023, program itu telah memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat di seluruh negara, sekali gus membuka peluang pekerjaan, pendidikan serta meningkatkan mobiliti secara sah dan selamat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang diluluskan Dewan Rakyat memperuntukkan tindakan lebih tegas bagi membendung aktiviti lumba haram, termasuk hukuman denda dan penjara terhadap pesalah.
Beliau turut mengingatkan semua pemegang lesen baharu supaya sentiasa menunggang secara berhemah serta memakai topi keledar yang mematuhi piawaian SIRIM demi keselamatan di jalan raya.