
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memerlukan pembiayaan bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa digalak memanfaatkan kemudahan di bawah ‘SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF)’, dengan lebih RM4 bilion dana masih tersedia.
- SME Corp bertindak sebagai agensi penyelaras pusat, memberi khidmat nasihat dan menyalurkan maklumat mengenai program pembangunan PMKS.
- SME SRF menawarkan pembiayaan sehingga RM750,000 pada kadar faedah 3.75 peratus dengan jaminan sehingga 80 peratus melalui SJPP dan CGC.
- SME Corp menyediakan kaunselor perniagaan, hari terbuka bulanan dan maklumat lengkap boleh diakses menerusi SME Info Portal.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Datuk Nainy, berkata agensi itu memainkan peranan sebagai agensi penyelaras pusat yang menyediakan khidmat nasihat serta menyalurkan maklumat mengenai pelbagai program pembangunan PMKS di bawah kementerian dan agensi kerajaan.
“Kami mempunyai kaunselor perniagaan di SME Corp Malaysia yang sentiasa memberikan khidmat nasihat serta menyalurkan maklumat terkini mengenai program seperti SME SRF.
“Selain itu, kami turut mengadakan hari terbuka setiap bulan, manakala semua maklumat berkaitan program bantuan termasuk SME SRF, boleh diakses menerusi SME Info Portal”, katanya selepas menjadi tetamu Biz Malaysia pada Selasa, di Angkasapuri, Kota Media.
Beliau berkata, SME SRF menawarkan pembiayaan sehingga RM750,000 pada kadar faedah 3.75 peratus, selain disokong jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC ) sehingga 80 peratus.
Ini sekali gus memudahkan PMKS mendapatkan dana untuk memperkukuh aliran tunai dan mengembangkan perniagaan mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menerima peruntukan RM117 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi melaksanakan lapan program pembangunan PMKS.