
LONDON, 2 Julai– Tottenham Hotspur dilaporkan hampir memuktamadkan perpindahan pemain tengah Newcastle United, Sandro Tonali dengan yuran rekod kelab bernilai £100 juta Pound atau (AS$133 juta), menurut beberapa laporan media Britain pada Rabu.
- Roberto De Zerbi dijangka memenangi saingan mendapatkan Tonali, walaupun Arsenal dan Manchester City turut berminat.
- Perjanjian melibatkan bayaran awal £92.5 juta dan tambahan £7.5 juta bonus, melengkapkan rombakan tengah Spurs.
- Pemilik keluarga Lewis komited membiayai pembinaan semula selepas Daniel Levy melepaskan jawatan.
- Tonali pernah digantung 10 bulan kerana pertaruhan, dan dikenakan dua bulan tambahan tertangguh pada Mei 2024.
Pengurus Spurs, Roberto De Zerbi dijangka memenangi saingan mendapatkan pemain antarabangsa Itali berusia 26 tahun itu, meskipun pemain berkenaan turut diintai juara Liga Perdana Inggeris, Arsenal serta Manchester City.
Laporan menyebut, perjanjian itu melibatkan bayaran awal £92.5 juta Pound dengan tambahan £7.5 juta Pound dalam bentuk bonus, sekali gus melengkapkan usaha rombakan bahagian tengah Spurs selepas mereka turut bersetuju mendapatkan Mateus Fernandes dari West Ham United.
Perbelanjaan besar itu menandakan perubahan strategi ketara Tottenham selepas sebelum ini mengamalkan struktur gaji ketat di bawah bekas pengerusi Daniel Levy.
Pemilik majoriti kelab, keluarga Lewis sebelum ini berjanji untuk membiayai proses pembinaan semula pasukan selepas Levy melepaskan jawatan pada September lalu.
Langkah tersebut dilihat susulan kejayaan De Zerbi membantu Spurs mengelak penyingkiran pada hari terakhir musim lalu selepas kempen yang penuh mencabar.
Selain Tonali, Spurs turut memperkuat skuad dengan mendapatkan beberapa pemain berpengalaman termasuk Andrew Robertson, Marcos Senesi dan Martin Dubravka secara perpindahan percuma, selain membawa masuk pertahanan Belanda Jan Paul van Hecke dari Brighton dengan nilai sekitar £52 juta.
Fernandes pula dijangka menyertai Spurs menerusi perpindahan bernilai £85 juta.
Karier Tonali sebelum ini pernah terjejas apabila dikenakan penggantungan selama 10 bulan kerana melanggar peraturan pertaruhan bola sepak.
Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) menjatuhkan hukuman itu pada Oktober 2023 selepas beliau didapati melanggar larangan pertaruhan melibatkan pertandingan yang dianjurkan badan tersebut, UEFA dan FIFA ketika beraksi di Itali.
Tonali menyertai Newcastle dari AC Milan pada Julai 2023 dengan nilai £55 juta Pound, sebelum penggantungan itu dikenakan selepas membuat 12 penampilan bersama kelab berkenaan.
Pada Mei 2024, beliau turut dikenakan penggantungan tambahan dua bulan secara tertangguh selepas mengaku melanggar peraturan pertaruhan Persatuan Bola Sepak England. – AFP