Tuchel puji England ‘tidak menyerah kalah’

Pengurus England, Thomas Tuchel / AFP

ATLANTA, 2 Julai – Pengurus England, Thomas Tuchel memuji ketahanan mental anak buahnya selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Republik Demokratik Congo 2-1.

RINGKASAN BERITA AI
  • England kini memburu gelaran utama pertama dalam 60 tahun selepas beberapa kali hampir tiba di pentas akhir.
  • Tuchel ingatkan perlawanan menentang Mexico di Azteca amat sukar, dengan lebih 70,000 penyokong dan kelebihan tuan rumah.
  • Altitud tinggi di Azteca jadi cabaran besar; tidak mungkin menyesuaikan diri dalam masa empat hari, kata Tuchel.
  • Tuchel puji Harry Kane sebagai ketua; kini 13 gol Piala Dunia, lima dalam kejohanan ini dan pesaing Kasut Emas.

Kemenangan di Atlanta itu disifatkan sebagai bukti England berjaya mengatasi “badi kejohanan Piala Dunia selepas ketua pasukan, Harry Kane meledak dua gol pada lewat permainan untuk memastikan kemenangan dan tempat ke pusingan 16.

Skuad The Three Lions kini memburu gelaran utama pertama dalam tempoh 60 tahun, selepas beberapa kali hampir mencapainya termasuk tewas dalam dua pentas akhir Kejohanan Eropah sebelum ini.

England terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Brian Cipenga sebelum bangkit pada 15 minit terakhir perlawanan.

“Pasukan (England) hari ini tidak menerima kekalahan sebagai satu pilihan. Sangat mudah untuk mengalah, tetapi saya tidak melihat perkara itu berlaku,” kata Tuchel pada sidang media selepas perlawanan.

“Ia satu petanda yang sangat baik,” katanya sambil menegaskan kemenangan tersebut amat bermakna walaupun hadir pada saat akhir.

Tuchel turut mengakui cabaran lebih besar menanti England termasuk pertemuan sukar menentang tuan rumah, Mexico di Stadium Azteca, yang bakal dihadiri lebih 70,000 penyokong.

Mexico dilihat mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri serta telah menyesuaikan diri dengan altitud tinggi selain mencatat empat kemenangan tanpa bolos dalam kejohanan itu.

“Itu mungkin antara perlawanan paling menarik. Kami akan bermain di Azteca,” kata Tuchel.

“Altitud akan menjadi satu cabaran besar kerana kami tidak boleh menyesuaikan diri dalam masa empat hari. Ia mustahil,” tambahnya.

Namun beliau menegaskan England bersedia menghadapi cabaran besar dalam misi bergelar juara dunia.

Dalam masa sama, Tuchel turut memuji Kane yang kini menjaringkan 13 gol Piala Dunia sepanjang kariernya, termasuk lima gol dalam kejohanan kali ini.

“Dia ketua kami, dia pemimpin kami dan dia menentukan perlawanan dengan penyudah luar biasa,” kata Tuchel.

Kane kini berada dalam persaingan Kasut Emas bersama Lionel Messi, Kylian Mbappe, Erling Haaland, Ousmane Dembele dan Vinicius Junior. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.