Belgium ke pusingan 16 terbaik selepas tundukkan Senegal

Ketua pasukan Belgium, Youri Tielemans / RTM

SEATTLE, 2 Julai – Belgium mencipta kebangkitan dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Senegal 3-2 pada masa tambahan dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Seattle, sebentar tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Senegal awalnya mendahului 2-0 melalui Habib Diarra (minit ke-25) dan Ismaïla Sarr (minit ke-51).
  • Romelu Lukaku menjaringkan pada minit ke-86, diikuti Youri Tielemans menyamakan melalui tandukan pada minit ke-89.
  • Tielemans tenang menunaikan penalti pada penghujung masa tambahan; Belgium akan menanti pemenang Amerika Syarikat lawan Bosnia.

Kemenangan itu hadir menerusi jaringan penalti pada penghujung masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam tempoh 90 minit permainan, sekali gus memastikan Belgium mara ke pusingan 16 terbaik.

Senegal sebelum itu berada di landasan terbaik untuk melakar kejutan apabila mendahului 2-0 hasil jaringan Habib Diarra pada minit ke-25 sebelum Ismaïla Sarr menggandakan kelebihan pada minit ke-51.

Belgium bagaimanapun mempamerkan semangat juang tinggi apabila Romelu Lukaku merapatkan jurang menerusi gol pada minit ke-86 sebelum kapten, Youri Tielemans, menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-89 bagi membawa perlawanan ke masa tambahan.

Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan pada babak pertama masa tambahan.

Namun Belgium dihadiahkan sepakan penalti ketika perlawanan menghampiri penamat selepas pemain Senegal melakukan kekasaran di dalam kotak penalti.

Tielemans tenang menyempurnakan sepakan penalti berkenaan untuk melengkapkan kebangkitan Belgium, sekali gus menamatkan cabaran Senegal.

Belgium dijangka menanti pemenang antara Amerika Syarikat dan Bosnia pada pusingan ke-16.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.