
KLANG, 28 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerjasama semua pihak agar menyegerakan projek pembangunan perumahan mampu milik di kawasan tanah lapang milik Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) berkonsepkan pembangunan berorientasikan transit (TOD).
- Utamakan perumahan mampu milik di tapak stesen LRT, lengkapkan tempat letak kereta dan ruang perniagaan untuk usahawan kecil.
- Pembangunan TOD kurangkan kos perjalanan, galakkan penggunaan LRT dan MRT serta tingkatkan pulangan komersial Prasarana.
- Arahan dipercepatkan kepada kementerian, Prasarana, Kementerian Kewangan, kerajaan negeri dan PBT untuk mempercepat kelulusan projek TOD.
- Projek perumahan rakyat di sekitar LRT disasarkan siap dalam dua hingga tiga tahun; reformasi birokrasi dan integriti perlu dipertingkat.
Katanya, cadangan pembangunan di kawasan sekitar stesen Transit Aliran Ringan (LRT) itu perlu memberi keutamaan kepada perumahan rakyat di samping menyediakan parkir mencukupi serta ruang perniagaan
usahawan kecil dan sederhana bagi meningkatkan nilai komersial kawasan berkenaan.
Pembangunan bersepadu itu bukan sahaja mampu mengurangkan kos perjalanan rakyat dan menggalakkan penggunaan LRT dan Mass Rapid Transit (MRT) malah mengukuhkan kedudukan kewangan Prasarana melalui pulangan komersial yang lebih baik.
“Walaupun tanah itu sedang dimiliki Prasarana, tapi saya telah beri mandat kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini, kerana tanah yang luas di kawasan yang sesak, tak patut dibazirkan.
“Jadi syaratnya parkir mesti cukup, kedai-kedai sederhana bagi usahawan-usahawan kecil dan sederhana dan perumahan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Projek LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia di sini hari ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri turut mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Kementerian Pengangkutan, Prasarana, Kementerian Kewangan, Kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempercepat proses kelulusan supaya pembangunan TOD di tanah milik Prasarana dapat dimulakan segera oleh sektor swasta.

Beliau turut berharap projek perumahan rakyat di sekitar LRT Laluan Shah Alam dapat direalisasikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun melalui kerjasama erat semua pihak.
Tegasnya, pembangunan perumahan rakyat di kawasan berdekatan stesen pengangkutan awam perlu dijadikan keutamaan memandangkan golongan berpendapatan rendah sukar memiliki rumah tanpa campur tangan dan sokongan kerajaan.
Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan reformasi birokrasi bagi mempercepatkan proses kelulusan projek pembangunan, termasuk perumahan rakyat.
Meskipun rakyat menunjukkan peningkatan dalam laporan daya saing antarabangsa, namun usaha memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam masih perlu diteruskan.
“Kalau kita boleh tingkatkan kepantasan kita, kita boleh beri keselesaan kepada beribu-ribu orang. Yang kita nak tegaskan, jangan curi wang, jangan sakau, jangan guna kelewatan untuk ambil komisenyang bukan hak kita,” katanya.