Penjagaan kesihatan primer yang kukuh penting bagi kemampanan sistem kesihatan

Majlis Pemeteraian MoU antara IHH Healthcare Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Monash University Malaysia di Kuala Lumpur/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Penjagaan kesihatan primer perlu terus diperkasakan bagi memastikan sistem kesihatan negara lebih mampan serta mampu memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh peranan doktor perubatan am sebagai barisan hadapan untuk pengesanan awal dan rujukan pesakit bagi meringankan beban hospital.
  • Tangani peningkatan penyakit tidak berjangkit melalui pemantauan berterusan, panduan rawatan jelas, perubahan gaya hidup dan pengurusan tekanan.
  • Perkukuh komunikasi, sistem rujukan dan penggunaan teknologi kesihatan digital untuk kesinambungan rawatan, perkongsian maklumat dan penjagaan lebih terintegrasi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, hospital sahaja tidak lagi mampu menampung keseluruhan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan, justeru peranan doktor perubatan am (GP) sebagai barisan hadapan dalam pengesanan awal penyakit perlu diperkukuh.

“Malaysia kini berdepan peningkatan beban penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, obesiti, penyakit jantung dan kanser.

“Penyakit berkenaan tidak dapat ditangani hanya melalui satu sesi rawatan atau lawatan ke hospital, sebaliknya memerlukan pemantauan berterusan, panduan yang jelas serta kerjasama erat antara doktor, pesakit dan ahli keluarga.”

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara IHH Healthcare Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Monash University Malaysia, di sini.

Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi yang lebih berkesan dengan pesakit bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui langkah mudah seperti mengurangkan pengambilan minuman bergula, mengamalkan pemakanan seimbang, mengawal saiz hidangan, bersenam secara berkala serta mendapatkan rehat yang mencukupi.

Pengurusan tekanan juga, katanya, perlu diberi perhatian kerana ramai rakyat berdepan tekanan kerja, tanggungjawab keluarga dan cabaran kewangan yang boleh menjejaskan kesihatan mental.

Sehubungan itu, beliau berkata komunikasi antara GP, doktor pakar dan kumpulan sokongan perlu diperkukuh bagi memastikan proses rujukan pesakit berjalan lancar dengan maklumat klinikal yang lengkap, sekali gus menjamin kesinambungan rawatan.

Menurutnya, penggunaan teknologi kesihatan digital turut mampu meningkatkan kecekapan perkongsian maklumat antara penyedia perkhidmatan kesihatan, selain mengurangkan pertindihan rawatan dan membantu pesakit memperoleh maklumat dengan lebih cepat.

Tambah beliau, memorandum persefahaman itu dijangka menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk penambahbaikan sistem rujukan pesakit, pengurusan penyakit kronik, pembangunan profesional berterusan, penyelidikan dan kesihatan digital ke arah sistem penjagaan kesihatan yang lebih bersepadu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.