Pasukan NADI turun padang, bantu jana pendapatan melalui ekonomi digital

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil/Foto RTM

MUAR, 28 Jun – Kementerian Komunikasi akan menggerakkan pasukan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk lebih proaktif turun padang termasuk membantu masyarakat memanfaatkan peluang menjana pendapatan melalui ekonomi digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan NADI diminta turun untuk memberikan maklumat tambahan serta latihan kepada masyarakat menerusi program sedia ada.
  • Latihan termasuk peluang seperti menjadi TikTok affiliate dan menjual produk secara dalam talian untuk pendapatan tambahan.
  • Menteri Fahmi menyantuni dua keluarga anak penghidap cerebral palsy semasa lawatan Ziarah Kasih MADANI.
  • Program Ziarah Kasih MADANI JAPEN kenal pasti keperluan akar umbi dan hubungkan penerima layak dengan agensi berkaitan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu bagi memastikan lebih ramai masyarakat mendapat maklumat tambahan dan latihan menerusi program yang disediakan oleh NADI.

“Saya akan minta supaya pasukan NADI turun untuk menyantuni dan membantu keluarga-keluarga ini untuk mendapat maklumat tambahan ataupun latihan, contoh untuk menjadi TikTok affiliate ataupun menjual produk-produk di dalam talian.

“Saya juga minta supaya NADI juga proaktif untuk keluar, bukan sekadar orang pergi ke NADI. Ini yang kita akan usahakan selepas ini,” katanya selepas Program Ziarah Kasih MADANI di sini hari ini.

Terdahulu, Datuk Fahmi menyantuni dua keluarga yang mempunyai anak menghidap cerebral palsy iaitu Muhammad Izz Muahnned Izwan berusia 11 tahun dan Luqman Al Hazim Mohammad Iman berusia 20 tahun.

Beliau berkata program turun padang seperti Ziarah Kasih MADANI memberi peluang kepada beliau untuk meninjau sendiri isu kebajikan dan pembangunan yang memerlukan perhatian segera.

Program ini ialah inisiatif turun padang yang digerakkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) bagi menyantuni golongan memerlukan, di samping mengenal pasti isu dan keperluan sebenar masyarakat melalui kerjasama Komuniti MADANI pada peringkat akar umbi.

Program itu turut menjadi platform untuk menghubungkan penerima yang layak dengan agensi berkaitan bagi membolehkan bantuan dan intervensi disalurkan secara lebih berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.